KPDN teliti semua permohonan berkaitan SKDS – Armizan

Oleh Sholina Osman
12 JUN 2024

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beberapa pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada kementeriannya berkaitan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Beliau berkata, ia susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula pada 10 Jun lalu.

Armizan berkata, antara syor yang dikemukakan adalah supaya dipertimbangkan
beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

“Selain itu juga supaya ditingkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

KEMENTERIAN SEDANG MENELITI

Berikutan itu katanya, kementerian sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan ini dan akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

Katanya, jawatankuasa ini dianggotai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Armizan berkata, Jawatankuasa Rayuan akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *