Sektor pendidikan menjadi tonggak utama yang harus diperkuat – Fadhlina

Oleh Sholina Osman
12 JUN 2024

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sektor pendidikan menjadi tonggak utama yang harus diperkuat dalam usaha untuk mencapai Malaysia MADANI.

Beliau berkata, agenda pendidikan pula bukan sekadar dan semata-mata tapi perlu memberikan tumpuan kepada prestasi dan kecemerlangan akademik, mahupun prasarana dan fasiliti institusi pendidikan.

“Dalam konteks ini, kementerian mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk generasi masa hadapan yang bukan sahaja tinggi intelektual dan berkemahiran malah nilai karamah insaniah yang tinggi,” kata Fadhlina.

Beliau berkata demikian ketika
berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 serta majlis Jasamu Dikenang Tahun 2023/2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertemakan Keunggulan Prestasi Perkhidmatan, Aspirasi MADANI di Bangi Avenue Convention Centre, Kajang, semalam.

Seramai 404 warga KPM telah dipilih untuk menerima APC pada tahun ini, iaitu terdiri daripada seorang Pengurusan Tertinggi, 232 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan 171 daripada Anggota Kumpulan Pelaksana.

Selain itu, seramai empat orang menerima PPC dan 80 pesara tahun 2023 dan 2024 akan diraikan dalam majlis ini.

SEKTOR PENDIDIKAN NEGARA

Fadhlina berkata, saban hari sektor pendidikan negara berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah isu keciciran, akses pendidikan, kekurangan guru, persoalan mengenai kualiti sistem pendidikan, penyediaan kurikulum dan sebagainya.

Positifnya kata Fadhlina, setiap cabaran ini sememangnya membuka peluang tanpa henti kepada idea baharu serta inovasi ke arah penambahbaikan.

Namun begitu katanya, dalam konteks sektor pendidikan, setiap idea bagi perubahan sama ada dari segi dasar atau strategi perlu ditangani dengan penuh hemat dan teliti kerana mempunyai impak tersendiri kepada pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat.

“Pada masa yang sama, kita perlu mempunyai kebingkasan (resilience) yang tinggi dalam mengharungi perubahan- perubahan dan impak-impak ini,” katanya.

PANTAS KADAR “PERUBAHANNYA”

Fadhlina berkata, dalam dunia yang sangat pantas kadar “perubahannya” ini, tiada apa yang pasti pada masa depan, kecuali “perubahan” itu sendiri.

Katanya, kemajuan teknologi digital yang terus menciptakan gelombang perubahan sosioekonomi baharu mestilah mampu dikejar, didakap, dan dikuasai.

Beliau berkata, penjawat awam yang berkualiti tinggi merupakan aset penting terhadap kejayaan gagasan Malaysia MADANI.

“Hakisan nilai integriti dan ketelusan akan mengakibatkan kepincangan pentadbiran dan salah laku dalam organisasi,” tegasnya.

Beliau berkata, inilah yang ditekankan dalam gagasan MADANI, iaitu aspek tatakelola yang baik didukung oleh enam tiang MADANI; Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *