Oleh Sholina Osman
11 JUN 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil perhatian serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri yang akan menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula pada 10 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan media hari ini berkata, kementerian telah menjalankan OPS Kesan 2.0 yang bermula sejak 8 Jun lalu.
Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform-platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
VIRAL DI MEDIA SOSIAL
Pada masa yang sama berdasarkan katanya kenyataan-kenyataan yang viral di media sosial, KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek;
- Bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran bahan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit. Serahan notis akan dilaksanakan dibawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan.
- Bagi sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dahulu tidak layak menggunakan minyak diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun lalu. KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang. Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan mendapatkan sumber bersubsidi secara tidak sah sebelum ini. – JM