Oleh Sholina Osman
11 JUN 2024
Persatuan Pendidikan Putra Perlis (PPPPs) bekerjasama dengan pelajar dari Nigeria untuk menganjurkan program Korban dan Aqiqah di Marzak Ibn Taimiyya dari Ringim, Negeri Jigawa, Nigeria.
Pengerusinya Dr Yusri Yahya berkata, program julung kali yang dianjurkan ini bagi membantu lebih 300 ibu tunggal dan anak yatim disana.
Katanya, selain daripada pengagihan daging korban itu mereka juga akan mengadakan kenduri sempena menyambut Aidiladha.
“Walaupun mereka tidak meminta tetapi setelah mendengar cerita dari pelajar Nigeria disini maka kami rancang program ini,” kata Dr Yusri.
MEMBANTU SAUDARA ISLAM
Dalam pada itu pemenang kedua Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Perlis Muhammad Saniy Samsudin ketika ditemui berkata, sebagai umat Islam sememangnya menjadi tanggungjawab untuk membantu saudara Islam yang memerlukan bantuan.
Katanya, penglibatan pada tahun ketiga dalam program korban dan aqiqah selepas di Mekah dan Sik Kedah ini memberi keseronokan kerana dapat berkongsi pahala dalam program yang dianjurkan.
“Sebenarnya program ini secara tiba-tiba dianjurkan dengan pemakluman kepada keluarga terdekat untuk membantu rakyat di Nigeria itu,” ujarnya lagi.
Muhammad Saniy yang juga Tokoh Siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang aktif dalam bidang kesukarelawan dan melibatkan diri dalam membantu masyarakat berharap sumbangan ini dapat mencapai sasarannya walaupun dalam keadaan segera.
MENUNJUKKAN TANDA SYUKUR
Pastinya penganjuran ini menunjukkan tanda syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada persatuan ini untuk melibatkan diri dengan kerja sosial.
Aidiladha tinggal beberapa hari dan umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada 17 Jun 2024 nanti.
Program korban ini bertujuan untuk memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga menjelaskan bagaimana Islam mengajar kita untuk memberi sesuatu yang baik nilainya pada mata kita kepada orang lain, terutamanya kepada mereka yang amat memerlukan.
“Ia juga mengajar kita untuk tidak bersikap angkuh, mementingkan diri dan tidak peduli hanya kerana kita asyik memikirkan keperluan dan keselesaan diri sendiri baik didalam atau pun luar negara,” sambungnya lagi.
BERUSAHA MENGORBANKAN HARTA
Dalam konteks kemasyarakatan hari ini, ia menggambarkan bagaimana seseorang individu berusaha mengorbankan harta atau wang ringgit hasil dari titik peluh untuk melakukan ibadah korban setiap tahun di samping komitmen lain yang perlu dipikul.
Situasi ini sudah tentunya mengajar kita agar tidak berkira-kira terutamanya dalam melaksanakan ibadah yang dituntut di dalam Islam tanpa apa-apa persoalan kerana program korban ini memupuk semangat dan peluang kepada setiap individu Muslim untuk membantu saudara Muslim lain yang dalam kesusahan serta yang memerlukan.
Oleh itu bersedekah dengan memberi hasil haiwan yang terbaik untuk dikorbankan dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain.
Hinggakan Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda:”Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh ALLAH adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan laparnya.” (Hadis riwayat at-Tabrani).
Moga ibadah korban ini dilihat bertindak sebagai mekanisme dalam mengeratkan silaturahim dan keprihatinan dalam masyarakat. – JM