Diesel: 35 pegawai, penguatkuasa KPDN WPKL periksa stesen minyak

Oleh Sholina Osman
11 JUN 2024

Seramai 35 pegawai dan anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (KL) telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan dan rondaan di stesen minyak seluruh Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Ariffin Samsuddin berkata, pemeriksaan ini adalah untuk memastikan stesen-stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum pukul 12.00 tengah malam 10 Jun 2024.

“Sekiranya kesalahan dikesan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ariffin berkata, pemeriksaan tersebut dipertingkatkan berikutan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel dan pengumuman oleh Kementerian Kewangan hari ini berhubung perubahan harga diesel tanpa subsidi pada harga RM3.35 seliter di stesen-stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia bermula pukul 12.00 malam 10 Jun 2024.

Beliau berkata, berikutan itu pada 9 Jun dan 10 Jun lalu KPDN WPKL telah membuat pemeriksaan ke atas 62 buah stesen minyak di seluruh Kuala Lumpur.

STOK BEKALAN DIESEL MENCUKUPI

Bagaimanapun katanya tidak dikesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

“Stok semasa bekalan diesel juga mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya ‘stock out’,” katanya.

Secara keseluruhannya, kata Ariffin, setiap pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman perubahan harga berdasarkan harga semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama yang penuh dari semasa ke semasa kepada pihak Kerajaan.

Beliau berkata, harga yang dipamerkan di stesen-stesen minyak adalah harga terbaharu bagi diesel iaitu RM3.35 seliter selepas pukul 12.00 tengah malam pada 10 Jun 2024.

Katanya, jika terdapat pengumuman perubahan harga bagi diesel oleh Kementerian Kewangan, pemeriksaan dan rondaan akan dilakukan oleh KPDN WPKL bagi memastikan stesen-stesen minyak tidak menyeleweng barang kawalan (diesel) dengan mana-mana cara berikut :-

(i) menutup stesen minyak;
(ii) kehabisan bekalan minyak diesel (stock out);
(iii) jualan bersyarat;
(iv) elemen pam rosak;
(v) enggan menjual; dan/atau;
(vi) menyorok bekalan.

Beliau berkata, bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di bawahnya.

Selain itu katanya, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *