Oleh Sholina Osman
9 JUN 2024
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) muncul sebagai Johan pada “National TVET Building Information Modelling
(BIM) Competition” yang berlangsung di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu.
Sekaligus pertandingan ini yang diwakili oleh Azry Haikal Arizal telah berjaya mengharumkan nama POLIMAS, Jitra, Kedah.
Azry Haikal Arizal melahirkan rasa syukur ke hadrat ilahi dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada POLIMAS atas kepercayaan memilih beliau bagi menyertai pertandingan ini.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pensyarahnya, Mohamad Shahir Naim Abd Latif selaku jurulatih atas kesudian berkongsi ilmu.
Katanya lagi, semoga pada tahun hadapan kejayaan ini akan dipertingkatkan lagi supaya POLIMAS dapat mengekalkan kemenangan.
PENCAPAIAN TERBAIK PELAJAR
Sementara itu Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, berkata, ini merupakan pencapaian terbaik pelajar POLIMAS dalam Pertandingan BIM dan merupakan satu sejarah kerana pertama kali berjaya menjadi johan.
“Usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih, kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai,”
katanya.
Beliau berkata, kejayaan ini turut menunjuk pihak POLIMAS turut mementingkan pelajar perlu mempunyai kemahiran yang tinggi seiring dengan pendidikan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kebolehan pelajar dalam menggunakan perisian yang terkini adalah kunci utama dalam penghasilan model yang terbaik sehingga diumumkan sebagai Johan dalam pertandingan ini,” katanya.
Pensyarah selaku jurulatih POLIMAS, Mohamad Shahir berkata, kemenangan ini amat bermakna kerana ini adalah kejayaan kali pertama POLIMAS memenanginya.
“Saya amat berterima kasih kepada Azry Haikal kerana berjaya menaikkan imej POLIMAS di mata umum,” katanya.
Katanya lagi, dengan usaha dan latihan yang telah diberikan telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan.
BERTUJUAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN
Pertandingan BIM ini diadakan bertujuan bertujuan meningkatkan kemahiran penggunaan perisian REVIT dalam bidang Building Information Modelling (BIM) juga sebagai platform TVET mencungkil bakat dan kemahiran pelajar dalam menghasilkan sesuatu model bangunan.
Menerusi pertandingan ini boleh mendorong kerjasama, kreativiti dan kecemerlangan dalam aplikasi teknologi BIM, menyumbang kepada kemajuan industri pembinaan dan pembangunan profesional yang berkemahiran dalam bidang tersebut seterusnya mempromosi POLYCC sebagai institusi melahirkan graduan berkemahiran tinggi menggunakan teknologi terkini.
Pertandingan kali ini telah disertai oleh tujuh politeknik di seluruh Malaysia dengan 20 peserta.
Pertandingan ini melibatkan penghasilan model rumah dua tingkat dalam bentuk tiga dimensi (3D) menggunakan perisian Autodesk Revit 2024.
Pelajar perlu menghasilkan Lukisan Kerja Senibina yang lengkap serta pandangan perspektif 3D dalam tempoh masa lima jam.
Pertandingan ini telah diadili oleh wakil tenaga pengajar pakar dari Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABM) yang berpengalaman h20 tahun dalam bidang pembinaan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Zamra Derahman.
Turut hadir, wakil
Akademi Binaan Malaysia, Muhd Kausani Ramli dan Penolong Pengurus CIDB Terengganu. Ahmad Salmi Sulaiman. – JM