Oleh Sholina Osman
10 JUN 2024
INGIN tampil menarik dengan solekan dan busana yang sempurna adalah sifat semulajadi wanita.
Bagaimanapun tidak semua wanita mempunyai “ilmu” yang cukup berkaitan dengan tatarias diri terutamanya cara solekan dan dalam memilih busana yang sesuai khususnya apabila perlu menghadiri majlis tertentu.
Atas sebab itu, Persatuan Wanita Warisan Padu Kuala Lumpur menganjurkan Kelas Bimbingan – Tutorial Make-Up & Fashion Casual Wanita di Dewan Komuniti, Dataran Flat Sri Kelantan, Sentul, Kuala Lumpur.
Program ini anjuran bersama Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPP) SUB Zon 2 Parlimen Batu, Pejabat Ahli Parlimen Batu , Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Kelantan dan KRT Sri Pangkor.
PROGRAM BENGKEL SEHARI
Seramai 80 wanita menyertai program bengkel sehari yang dikendalikan oleh Puan Delyna atau dikenali sebagai Kak Dell.
Majlis perasmian telah dilakukan oleh Ketua MPP Sub Zon 2, Mejar (B) Datuk Johari Baba.
Menurut Exco MPP Pusat, Idawatie Pariman, program ini bertujuan untuk melestarikan peningkatan ilmu di kalangan suri rumah, ahli-ahli Keadilan serta Sri Kandi dari segi penampilan imej, keyakinan diri dan tatarias paras rupa.
“Mereka didedahkan mempelajari teknik solekan untuk kegunaan peribadi,” katanya.
Beliau berkata, ramai wanita di luar sana yang mempunyai peralatan Make Up yang mahal dan terkini tetapi tidak tahu menggunakannya secara betul dan efektif.
MENJANA EKONOMI INDIVIDU
“Objektif dan matlamat kursus adalah untuk membantu menjana ekonomi individu yang berpotensi menceburi bidang yang menguntungkan ini, katanya.
Selain itu katanya, peserta boleh mengusahakan perniagaan di rumah atau di mana saja.
Malah katanya, peserta juga berhak menjadi cantik dan boleh mencantikkan diri sendiri tanpa perlu mengupah jurusolek luar yang kadangkala mengenakan upah yang tinggi.
“Kelas bimbingan ini juga membentuk keyakinan diri kita dari masa ke semasa dan membantu kita lebih positif dalam menghargai diri anda,”
katanya.
Pada akhir program para peserta diberikan Sijil Penyertaan dan juga cenderamata. – JM