Oleh Sholina Osman
7 JUN 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang diwartakan pada 2 Oktober 2023 telah berkuatkuasa sepenuhnya mulai Selasa lalu (4 Jun).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pewartaan ini bertujuan untuk memastikan pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong mematuhi standard penandaan kuantiti pada label bungkusan bagi semua produk dan barangan tersedia bungkus yang dijual dalam pasaran negara.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan perintah ini, anggota penguat kuasa KPDN boleh menjalankan pemeriksaan dan ujian ketepatan kuantiti produk secara terus di peringkat pengilangan bagi mencegah daripada berlaku penipuan ke atas kuantiti sebenar produk-produk tersedia bungkus yang akan dipasarkan.
MENAMBAH KEYAKINAN PENGGUNA
“Penguatkuasaan perundangan ini akan membantu pengguna bagi mendapat maklumat yang jelas berhubung dengan kuantiti produk sekali gus boleh menambah keyakinan pengguna ke atas semua produk tersedia bungkus yang berada di pasaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Armizan berkata, sebagai tambahan, pihak industri juga secara tidak langsung perlu mempertingkatkan kawalan dalaman bagi memastikan kuantiti setiap produk tersedia bungkus adalah tepat dan tidak merugikan pengguna.
Selain itu katanya, pewujudan perintah ini merupakan komitmen negara bagi mengharmonikan perundangan dalam bidang pengukuran (legal metrology) dalam kalangan negara ASEAN bagi mengelak halangan teknikal dalam perdagangan (technical barrier to trade) antara negara-negara anggota.
Armizan berkata, kementerian ini juga boleh mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong seperti berikut:
i. Syarikat: didenda tidak melebihi RM200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.00.
ii. Individu: didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu katanya, penganjuran siri program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2024 diteruskan bagi zon timur di Kota Bharu, Kelantan.
“Jelajah Karnival KPDN di negeri Kelantan yang berlangsung dari 6 hingga 8 Jun 2024 merupakan siri kedua daripada takwim siri jelajah tahun 2024 oleh KPDN selepas Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Negeri Perlis yang diadakan pada 10 hingga 12 Mei 2024 yang lalu,” katanya.
USAHA PIHAK KPDN
Program ini merupakan
manifestasi terhadap usaha pihak KPDN yang bukan bersifat one-off atau berbentuk ceremonial, tetapi berkait rapat dengan agenda penting negara yang digagaskan oleh Perdana Menteri melalui Agenda Ekonomi MADANI.
Penganjuran program ini merupakan kesinambungan kepada program pembangunan perniagaan dalam negara yang akan terus dilaksanakan oleh pihak KPDN bagi menyampaikan maklumat dan meningkatkan kefahaman kepada rakyat Malaysia amnya dan warga Pantai Timur khususnya mengenai peranan serta teras kefungsian KPDN dalam meningkatkan perdagangan dalam negeri, mendaya upaya pengguna dan menangani kos sara hidup.
Selepas siri program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2024 diadakan di Perlis dan Kelantan, KPDN telah merancang untuk meneruskan pelaksanaan empat lagi siri program ini di Sarawak, Perak, Sabah dan Melaka dari bulan Jun sehingga Disember 2024. – JM