Malaysia-China pengerusi bersama Mesyuarat Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan Ke-5

Oleh Sholina Osman
6 JUN 2024

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Keselamatan Awam, Republik Rakyat China, Wang Xiaohong telah mempengerusi secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia – Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5).

Ia berlangsung di Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China pada 6 Jun.

Mesyuarat tahunan ini merupakan manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan Republik Rakyat China dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

SaIfuddin dalam kenyataan media menjelaskan, JWG Ke-5 merupakan mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China yang ditandatangani pada 2012.

MENGASPIRASIKAN HASIL MESYUARAT

“Keakraban hubungan kedua-dua negara mengaspirasikan hasil mesyuarat yang monumental ke arah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam antara kedua-dua negara yang lebih terjamin serta mampu memberikan limpahan kesan positif di peringkat serantau dan dunia,” katanya.

Beliau berkata, JWG Ke-5 berhasil memuafakatkan keputusan yang berimpak tinggi, antaranya:
i. pemeteraian pelanjutan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China yang berkuat kuasa sehingga 2034. Perjanjian ini merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar;

ii. kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN;

KERANGKA KESELAMATAN NASIONAL

iii. Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah turut akan memanfaatkan negara serantau dan global;

iv. kesepakatan untuk bersegera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.

Saifuddin berkata, Mesyuarat JWG Ke-5 turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status hubungan komprehensif dan strategik Malaysia – Republik Rakyat China.

“Hal ini termasuklah perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai,” katanya.

Pada akhir Mesyuarat JWG Ke-5, kedua-dua Menteri mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan akrab kedua-dua negara dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam di kedua-dua negara, serantau dan global.

Menteri Dalam Negeri sedang mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri dalam lawatan kerja di Republik Rakyat China bermula dari 5 hingga 10 Jun ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *