LPF terima 11,439 permohonan tapisan tahun lalu – Saifuddin

Oleh Sholina Osman
7 JUN 2024

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Penapisan Filem (LPF) menerima sejumlah 11,439 permohonan tapisan pada tahun lalu.

Beliau berkata, permohonan ini merangkumi jumlah tapisan bagi filem, treler filem, iklan, kandungan stesen televisyen serta bahan publisiti filem.

Katanya, secara pecahan 1,248 permohonan adalah merupakan tapisan bagi filem untuk tayangan panggung, 722 permohonan tapisan pita, 5,545 permohonan untuk stesen televisyen, 514 permohonan untuk bahan publisiti dan 3,410 permohonan untuk tapisan iklan.

“Jumlah ini merupakan satu peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding permohonan tapisan pada tahun 2022 sekaligus memberikan petunjuk bahawa perkembangan penapisan filem di negara ini adalah signifikan selaras dengan kepesatan industri filem di Malaysia,” katanya.

Saifuddin berucap demikian pada peluncuran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) dan Klasifikasi Filem Baharu Bersempena Ulang Tahun Lembaga Penapis Filem (LPF) Ke-70 di Hotel Marriot, Putrajaya.

Saifuddin berkata, GPPF ini dihasilkan bukanlah untuk menyekat kreativiti dan kemahiran serta daya fikir pembuat filem.

BOLEH DIJADIKAN RUJUKAN

Beliau berkata, sebaliknya ia boleh dijadikan rujukan kepada pembuat filem untuk memahami dasar-dasar Kerajaan berkaitan konteks jalan cerita yang hendak disampaikan.

“Saya ingin memberikan jaminan, tidak kiralah sama ada tuan-tuan puan-puan adalah merupakan pengeluar, syarikat produksi, studio perfileman, syarikat pengedaran filem, operator pawagam, stesen televisyen, pertubuhan bukan kerajaan ataupun individu-individu yang berkaitan dengan industri perfileman tanahair; Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui LPF sentiasa terbuka terhadap setiap cadangan, saranan dan kritikan daripada penggiat industri perfileman khususnya dan masyarakat secara umumnya dalam menambah baik dasar, perundangan dan peraturan bagi memperkasakan hal ehwal yang berkaitan dengan penapisan filem di negara ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu Saifuddin berharap GPPF ini sewajarnya dijadikan sumber rujukan dan panduan kepada para penggiat seni perfileman tanah air berhubung perkara-perkara yang seharusnya diberikan pertimbangan berkaitan kandungan sesebuah filem dengan turut mengambil kira aspek kesesuaian sesebuah filem untuk ditonton oleh masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

LPF SEMAKIN FLEKSIBEL

Beliau menjelaskan, LPF semakin fleksibel dan terbuka terutamanya kepada industri perfileman tempatan.

Berbanding sebelum ini katanya, penerbit filem tempatan kini boleh menyerahkan filem mereka untuk proses pratonton, di mana perbincangan terhadap sesebuah isi kandungan dibincangkan secara bersama, terutamanya apabila ianya berkaitan dengan kandungan sensitif yang perlu disunting atau dipinda sebelum sesebuah filem penuh diserahkan untuk kelulusan LPF.

“Kaedah ini dilihat supaya LPF meletakkan penghormatan terhadap sesebuah hasil karya dan tidak menyekat kebebasan industri perfileman dalam berkarya secara kreatif,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai program libat urus turut diadakan pada setiap tahun untuk berbincang, bertukar pandangan dan mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung penapisan filem bersama-sama pihak industri perfileman, penyiaran dan operator pawagam serta pihak berkepentingan lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *