Oleh Sholina Osman
5 JUN 2024
Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengemukakan secara bersama sebuah Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Akta 50 pada hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan media berkata,
cadangan ini bertujuan untuk menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan paralel (parallel pathway), dan memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan.
Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan ini.
“Rang Undang-undang (RUU) untuk pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya.
KEPERLUAN PERKHIDMATAN KESIHATAN
Jelasnya, Jemaah Menteri juga cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.
“Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
LALUAN LATIHAN KEPAKARAN
Melalui pindaan yang akan dibuat katanya, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan.
Dengan itu juga, tambahnya para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Sekaligus katanya, ini membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera.
“KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan, serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti,” katanya. – JM