Sejuta rakyat Malaysia daftar ‘AI untuk Rakyat’ capai sasaran lebih awal – Gobind

Oleh Sholina Osman
5 JUN 2024

Sejuta rakyat Malaysia telah mendaftar program pembelanjaran kendiri secara online ‘Ai Untuk Rakyat’ dalam tempoh enam bulan sejak dilancarkan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo Beliau berkata, rekod ini telah mencapai sasaran lebih awal, iaitu dalam tempoh satu tahun.

Gobind berkata, penerimaan hangat ‘AI untuk Rakyat’ menekankan keinginan dan kesediaan rakyat Malaysia dalam mendakap pengetahuan berkaitan literasi digital dan kefahaman AI.

KOMITMEN KOLEKTIF RAKYAT

Tambahnya, pencapaian ini menunjukkan komitmen kolektif rakyat dalam membina masyarakat digital yang inklusif dan mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menghadapi peluang dan cabaran masa depan dengan pendekatan Digital First.

“Respon yang luar biasa terhadap program ini juga menandakan perubahan ketara ke arah masyarakat yang lebih celik teknologi, dan membentuk asas untuk Malaysia berkembang dalam era digital,” katanya dalam kenyataan media.

Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif ‘AI untuk Rakyat’ yang menekankan dedikasi kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan penting mengenai teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI).

Gobind berkata, ‘AI untuk Rakyat’ adalah usaha kolaboratif antara kerajaan Malaysia, melalui Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (C4IR) yang dianjurkan oleh MyDIGITAL Corporation (agensi di bawah Kementerian Digital) dan rakan teknologi, Intel Corporation.

KEPAKARAN DALAM MENCIPTA

“Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran dalam mencipta pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan boleh diakses oleh semua lapisan rakyat Malaysia dari kumpulan umur, latar belakang, dan lokasi geografi,” katanya.

Tambahnya, program ini terdiri daripada dua modul: AI Aware dan AI Appreciate.

“Peserta akan menerima lencana digital setelah mereka berjaya menyelesaikan setiap modul, di mana ia menonjolkan pencapaian mereka dalam memahami dan menghargai kepentingan AI,” katanya.

Gobind berkata, program ini juga menampilkan aspek keterangkuman, di mana kandungan yang disediakan adalah dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Keserasian dengan aplikasi ‘talkback’ memastikan aksesibiliti yang menyeluruh kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan, memperkayakan pengalaman pembelajaran untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, bagi mengurangkan jurang digital, pusat komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menawarkan program ini di kawasan luar bandar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *