Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar pemenang Anugerah Pengarah FYPCom@POLIMAS

Oleh Sholina Osman
5 JUN 2024

 
Projek Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar Berasaskan Sistem IoT telah merangkul Anugerah Pengarah pada Pertandingan Projek Akhir Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Pertandingan FYPCom@POLIMAS 2024 ini diadakan selama dua hari di Dewan Sri Mas, POLIMAS.

Projek Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar atau tajuk sebenar iaitu Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar Berasaskan Sistem IoT dengan ESP32 Menggunakan Aplikasi Blynk telah berjaya mengalahkan 136 projek yang lmelibatkan 281 pelajar dari pelbagai jabatan di POLIMAS.
 
Projek ini diinovasikan oleh dua pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, POLIMAS, iaitu Muhamad Afiqfarhan Azan Nasution @ Kilat dan Muhammad Hafiz Izrin Jahariman.

Kumpulan pelajar ini diselia oleh Pensyarah Kursus Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Abdul Rahman Huraisen Masri.

Afiqfarhan berkata, projek Kipas Hud Dapur Pintar ini dicipta bagi mengesan asap seterusnya dapat menghidupkan kipas hud dapur secara automatik.

Katanya, ini dapat mengelakkan daripada berlakunya insiden letupan tong gas di bangunan kediaman yang berpunca daripada kebocoran gas yang boleh membawa kepada kecederaan parah, melecur dan kemusnahan harta benda.

Tambahnya, melalui projek inovasi ini, ia juga dapat mengesan kehadiran gas yang bocor di ruang dapur.

TELEFON PINTAR PENGGUNA

Projek ini turut menggunakan sistem Blynk yang bertujuan untuk memberikan notifikasi ke telefon pintar pengguna jika wujudnya kehadiran gas di dapur.

Sebagai langkah pencegahan awal, kipas hud dapat berfungsi secara automatik bagi mengeluarkan gas daripada bangunan.

Hafiz Izrin pula berkata, kemenangan ini merupakan satu penghargaan yang bermakna bagi kumpulan mereka dan menjadikan dia lebih bersemangat untuk membawa idea ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tidak menyangka projek kami ini akan memenangi Anugerah Pengarah bagi projek terbaik dalam pertandingan ini,” katanya.

Menurut Pengarah Program, Mohd Syukur Azizan, FYPComp merupakan satu pertandingan yang dianjurkan bagi menyediakan satu platform yang membolehkan pelajar-pelajar mempersembahkan hasil projek akhir mereka kepada panel-panel luar yang terdiri daripada pihak industri.

DIASAH PERINGKAT AWAL

Katanya, bakat pelajar dapat diasah diperingkat awal dalam menghasilkan idea-idea melalui produk inovasi mengikut kreativiti serta projek-projek yang berkualiti.

Katanya lagi, program
ini merupakan pertandingan yang dianjurkan pada kali ke-2 dengan melibatkan semua jabatan akademik bagi mempersiapkan diri para pelajar POLIMAS untuk menjadi peneraju TVET apabila memasuki alam pekerjaan nanti selaras dengan kehendak industri.
 
Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapan Majlis Penutupan FYPCom@POLIMAS 2024 menyifatkan Pertandingan FYPComp sebagai satu platform kepada pelajar-pelajar bersaing secara sihat dalam mengetengahkan idea-idea melalui projek yang dihasilkan.

Katanya lagi, penglibatan pelajar dalam pertandingan sebegini mampu menyuntik semangat kepada pelajar dalam menghasilkan idea-idea yang menarik dan menghasilkan projek yang mempunyai daya inovasi yang tinggi untuk dipersembahkan.

Katanya, usaha ini dilihat dan mendapat sokongan daripada pihak industri yang berminat dalam menawarkan peluang untuk mengembangkan idea ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kerjasama antara pihak industri ini dilihat dapat membantu dalam memacu pengeluaran dan perkhidmatan serta meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
 
Pertandingan FYPComp@POLIMAS 2024 pada kali ini telah menawarkan hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil yang disampaikan oleh Rosli kepada para peserta yang memenangi pertandingan ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Northern Coral (M) Sdn. Bhd. selaku Pengerusi Alumni POLIMAS, Datuk Mohd Yuzi Mat Zin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *