Oleh Sholina Osman
5 JUN 2024
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, Bank Rakyat memperuntukkan RM50 juta menerusi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, ia adalah sebagai penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan.
Ramanan juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberikan mandat, sokongan dan kerjasama yang padu kepada beliau untuk mengumumkan satu lagi inisiatif baharu di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) demi untuk memperkasakan ekonomi kaum India.
“Sesungguhnya, komitmen dan dedikasi para usahawan untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan sentiasa memberi inspirasi kepada saya,” katanya semasa berucap pada majlis Pelancaran Program BRIEF-i di Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
DEDIKASI BANK RAKYAT
Ramanan berkata, BRIEF-i ini adalah bukti dedikasi Bank Rakyat terhadap inklusiviti serta pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia secara holistik dan menyeluruh sejak 70 tahun penubuhannya.
Katanya, selain itu ia merupakan peluang untuk usahawan komuniti India mencapai aspirasi Kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar, sekali gus merapatkan jurang ekonomi Malaysia MADANI yang makmur dan sejahtera.
Beliau berkata, BRIEF-i merupakan inisiatif yang dapat membina masa depan yang lebih cerah bagi usahawan komuniti India.
“Saya percaya bahawa dengan menyokong usahawan komuniti India, kita mampu memupuk ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan makmur untuk semua,” tambah beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, BRIEF-i menawarkan pelbagai kelebihan berbanding program pembiayaan lain yang ada di pasaran antaranya; bagi perusahaan mikro, BRIEF-i menawarkan kadar rata 6.50 peratus setahun dengan had pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000, bagi PKS, kadar pembiayaan adalah pada kadar asas pembiayaan (KAP) + 0.67 peratus setahun, termasuk yuran jaminan dengan had antara RM50,001 hingga RM1 juta.
Katanya, berbeza dengan sesetengah program pembiayaan lain, BRIEF-i tidak memerlukan usahawan untuk mempunyai simpanan paksa (force savings) atau menyertai kumpulan bantuan diri (self-help group).
KEBEBASAN KEPADA USAHAWAN
Ramanan berkata, ia memberikan kebebasan kepada usahawan untuk fokus sepenuhnya kepada perniagaan mereka tanpa sebarang kekangan tambahan.
Beliau juga menekankan bahawa BRIEF-i menetapkan proses dokumentasi yang ringkas berbanding program pembiayaan lain bagi membolehkan usahawan memohon dengan lebih mudah dan pantas.
Katanya, di samping jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut disediakan bagi pelanggan PKS dan perlindungan Takaful secara percuma bagi perusahaan mikro.
Selain daripada proses kelulusan permohonan mengambil masa selama 14 hari bekerja sahaja katanya, BRIEF-i turut menetapkan kriteria kelayakan bagi memastikan program pembiayaan ini mencapai golongan sasaran.
“Perusahaan mikro mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya satu tahun dengan rekod CTOS dan CCRIS yang memuaskan, manakala usahawan PKS mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, mengekalkan rekod CTOS dan CCRIS yang memuaskan serta mempunyai nilai aset bersih yang positif,” katanya. – JM