Oleh Sholina Osman
6 JUN 2024
HATI-hati warga emas.
Golongan ini dikenalpasti sebagai sasaran yang lebih “berkualiti” berbanding kategori mangsa lain.
Ini berikutan pihak polis telah menerima 19 laporan oleh mangsa dari seluruh negara apabila ditipu sindiket yang menggunakan laman sesawang sebagai “umpan” sehingga melibatkan kerugian bernilai RM688,099.00.
Tiga daripadanya adalah warga emas yang mengalami kerugian berjumlah RM269, 237.00
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan media.
TAWARAN PEKERJAAN PALSU
Beliau berkata, pihaknya mengesan bahawa sindiket penipuan ini menawarkan tawaran pekerjaan palsu melalui laman sesawang LYNXOASIS.COM.
Berdasarkan siasatan katanya, sindiket ini didapati menggunakan platform Instagram dan Facebook (FB) untuk mengiklankan pekerjaan sambilan selaku agen tempahan hotel.
“Mangsa yang berminat akan diminta membuka akaun di laman sesawang LYNXOASIS.COM dan kemudiannya melakukan tugas tempahan hotel,” katanya.
Bagaimanapun katanya, setiap tempahan hotel yang dibuat itu perlu menggunakan wang milik mangsa terlebih dahulu.
Katanya, mangsa diberi jaminan bahawa wang akan dikembalilan beserta dengan komisyen.
“Mangsa juga dijanjikan dengan komisyen sebanyak 0.6 peratus hingga 10 peratus iaitu bergantung kepada tugasan yang telah diselesaikan,” katanya.
Melalui laman sesawang tersebut, Ramli berkata, mangsa juga dapat melihat yang wang komisyen mereka meningkat.
MENGELUARKAN WANG KEUNTUNGAN
Namun katanya, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan, sindiket penipuan ini akan mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ramli berkata, terbaharu sindiket ini dikesan mula menyebarkan mesej “Job For Senior” yang mempromosi pekerjaan sambilan di laman sesawang yang sama.
“Mesej ini telah dihantar melalui aplikasi whatsapp yang disyaki menyasarkan mangsa di kalangan warga emas,” katanya.
Beliau berkata, segera hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah pernipuan. – JM