Oleh Sholina Osman
4 JUN 2024
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law mulai Jun ini dan dijangka selesai September depan.
Beliau berkata, ini sejajar dengan antara empat teras utama kementerian bagi tahun 2024 iaitu Pendayaupayaan dan Advokasi Kepenggunaan.
Jelasnya, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.
Beliau berkata, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar di peringkat kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan yang baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna.
PENAMBAHBAIKAN PERUNDANGAN SEDIA ADA
“Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu,” katanya semasa melancarkan Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 bertemakan perundangan berkaitan Lemon Law di Putrajaya, hari ini.
Simposium ini melibatkan penyertaan daripada wakil agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemain industri, ahli akademik, wakil media dan gerakan pengguna
Ia memfokuskan kepada cadangan pengukuhan aspek perlindungan pengguna melalui pengenalan Lemon Law.
Lemon Law adalah satu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.
Matlamat KPDN simposium ini menjadi platform menggerakkan reformasi kerangka perundangan untuk memperkukuhkan perlindungan hak pengguna melalui Lemon Law demi mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif sekali gus membantu perkembangan industri automatif negara. – JM