Oleh Sholina Osman
5 JUN 2024
Sebuah lori kontena berlogo “ZIM” yang dipercayai dimiliki syarikat berpengkalan di Israel ketika masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Padang Besar, Perlis telah diarah supaya berpatah balik ke Thailand.
Ia dilakukan berdasarkan semakan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dengan pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan bahawa kontena berlogo “ZIM” dipercayai adalah milik syarikat berpengkalan dari Israel adalah dilarang masuk ke negara ini.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian ini dikesan pada pukul 12.03 tengah hari, 2 Jun lalu apabila sebuah lori kontena dari negara jiran telah membawa dagangan yang berisi ayam sejuk beku.
“Lori kontena berkenaan telah melalui Mesin Pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, bagi melakukan pengikraran Borang K1 bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
PENGENDALI MESIN PENGIMBAS
Ismail berkata, semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mendapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo “ZIM” yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut.
Berikutan itu, katanya, kenderaan telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, semakan juga telah dibuat bersama dengan pihak agensi kerajaan yang terlibat.
KONTENA BERLOGO “ZIM”
“Keputusannya kontena berlogo “ZIM” adalah dilarang untuk memasuki Malaysia kerana dipercayai adalah milik syarikat berpengkalan dari Israel,” katanya.
Ismail berkata, kenderaan beserta kontena berisi dagangan berkenaan telah diarah balik ke negara jiran pada hari yang sama.
Sementara itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM juga menyeru kepada
orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – JM