Oleh Sholina Osman
4 JUN 2024
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Suppy Agreement of Renewable Energy (SARE) di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad di Hotel Pulse Grande, Putrajaya hari ini.
Majlis ini adalah lanjutan dari pelancaran dokumen Roadmaps Putrajaya Bandar Rendah Karbon olehnya pada 22 Februari lalu di Putrajaya.
Dokumen ini disediakan sebagai panduan pelaksanaan tindakan rendah karbon sehingga tahun 2030.
Kerjasama ini merangkumi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan dan latihan berkaitan tenaga boleh baharu termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastruktur yang berkaitan, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai “Living Lab” bagi teknologi pembangunan dan pengurusan tenaga.
PENGENALAN PAKEJ SOLAR
Kolaborasi ini bakal memanfaatkan warga Putrajaya melalui pengenalan pakej solar untuk 200 pemilik rumah persendirian terawal di Putrajaya.
Selain itu pembangunan Stesyen Pengecas Kenderaan Elektrik di sekitar Putrajaya bagi penduduk yang mempunyai kenderaan hibrid atau elektrik.
Persefahaman yang terjalin ini juga adalah selari ke arah menjayakan visi Bandar CHASE yang telah Dr Zaliha perkenalkan pada Februari lalu.
Ia bagi dalam memastikan kelangsungan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat khususnya warga Putrajaya sentiasa dioptimumkan.
Juga ia mencerminkan sokongan terhadap inisiatif Kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), bagi menjana tenaga lebih bersih dalam usaha mengukuh komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). – JM