Penulis, pelukis, pereka, penerbit,pengedar disaran bersedia dengan terbitan terkini – Fadhlina

Oleh Sholina Osman
3 JUN 2024

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru para pemain industri sama ada penulis, pelukis, pereka mahupun penerbit dan pengedar disaran supaya sentiasa bersedia dengan terbitan terkini yang menyajikan produk ilmu berintikan dan berlatarkan kearifan tempatan.

Beliau berkata, semua penggiat industri dalam penghasilan pastinya akan menempatkan negara kita sangat istimewa pada pandangan masyarakat luar

“Seiring dengan kepesatan teknologi, kita juga perlu ke hadapan dengan penyediaan bahan terbitan dalam bentuk digital,” kata Fadhlina pada majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.

Difahamkan sebelum pukul 8 malam tadi, sebelum bermula majlis penutupan PBAKL2024, data pengunjung terkumpul selama 10 hari berlangsung dianggarkan sekitar 1,848,278 orang.

Fadhlina berkata, ia memberikan pilihan kepada pembaca untuk memilih medium pembacaan mereka memanfaatkan perubahan teknologi.

Dengan itu katanya, pembudayaan ilmu akan terus berkembang.

LANDSKAP PENDIDIKAN DIGITAL

Fadhlina berkata, usaha ini juga bagi mendukung pelan transformasi dalam landskap pendidikan digital negara ke arah melahirkan insan yang berdaya saing,” katanya.

“Cendiakawan Arab dahulu ada menyatakan, “buku merupakan teman setia yang terbaik dan tidak pernah mengecewakan kita. Buku tetap di situ dan bersedia berkhidmat kepada kita,” katanya.

Maka itu kata Fadhlina, aktiviti perbukuan harus digempur dari segenap sudut bagi memastikan kecintaan terhadap ilmu terus bersemarak dan pembelajaran sepanjang hayat terus mekar, seterusnya “mencelikkan” minda rakyat Malaysia agar menjadi rakyat yang berilmu sesuai dengan aspirasi membangun negara MADANI.

Fadhlina juga menyeru agar para ilmuwan dan karyawan tempatan untuk terus menghasilkan bahan bacaan yang berimpak tinggi.

“Ini merupakan usaha kita untuk memandaikan anak bangsa dan rakyat Malaysia menerusi pelbagai pendekatan yang lebih bersifat kontemporari agar dapat disesuaikan dengan budaya membaca mengikut trend semasa,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *