Kerjaya guru menuntut pemerkasaan akhlak, kenyataan biadab amat dikesali

Atiqah Syairah Bt Shaharuddin – Setiausaha Politik kpd Menteri Pendidikan

Oleh Sholina Osman
2 JUN 2024

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berkenaan seorang guru yang membuat komentar jelek berkenaan program Thurath Islami yang dianjurkan di negeri Selangor, baru-baru ini.

Kenyataan media oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin menyebut
dapatan awal mendapati guru tersebut memang masih mengajar bahkan memegang jawatan yang signifikan di sebuah sekolah di negeri Pahang.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telahpun membuat siasatan awal dan bersedia untuk tindakan lanjut sejurus pembukaan penggal persekolahan Selasa ini,” katanya.

Namun demikian katanya, kegusaran daripada pihak ibu bapa dan masyarakat adalah bagaimana guru yang juga berstatus penjawat awam ini tergamak mengeluarkan komentar sedemikian rupa.

Beliau berkata, tohmahan yang dangkal namun berat ini dibimbangi menjadi racun yang akan terus membarah dan berlapikkan alasan yang berselindung di sebalik pegangan kebebasan bersuara.

UNIT INTEGRITI KPM

“Harapan kami agar Unit Integriti KPM mengambil tindakan agresif serta digiatkan dapatan daripada mesyuarat lembaga tatatertib yang menekankan Peraturan 44 – Perintah Tahan Kerja serta Peraturan 45 – Perintah Gantung Kerja ditambah klausa baharu berkait isu komentar penjawat awam di media baharu,” katanya.

Hal ini katanya, bagi memastikan tumpuan khusus diberikan oleh pasukan pendidik dalam membangun aspek pendidikan negara.

Katanya, ini jelas menuntut komitmen terutamanya dalam kalangan guru.

Tambahnya, kerjaya guru menuntut seseorang untuk memuliakan akhlak, justeru komentar biadab terkait program memperkasa khazanah thurath di Selangor itu dinilai sebagai menjengkelkan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan dan memberikan penghargaan yang wajar kepada penjawat awam.

“Usahlah kebaikan-kebaikan ini diibaratkan seperti susu dibalas tuba oleh individu-individu yang berkenaan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *