Dasar Pendidikan Digital sedia ada akan terus dilonjakkan – Fadhlina

Oleh Sholina Osman
1 JUN 2024

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang sedia ada akan terus dilonjakkan dengan memberikan tumpuan kepada pengintegrasian teknologi dalam semua aspek pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan.

Beliau berkata, dasar ini merupakan inisiatif kementerian dalam memantapkan tatakelola dan ketangkasan penyampaian bagi menghasilkan pendidikan berkualiti.

“Terdapat enam teras utama yang telah digariskan dalam DPD sebagai fokus untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan dasar ini,” katanya ketika berucap semasa perasmian Majlis Anugerah “Digital Utilisation and Technology Awards” (DUTA) 2023, Pelancaran “Mydigitalmaker Fair” dan Pelancaran “AI Classroom Toolkit”, di Pusat Sains Negara.

Fadhlina menggariskan, pertama adalah membangunkan murid fasih digital.

“Murid fasih digital didefinisikan sebagai murid yang berupaya mengaplikasi dan membudayakan penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika,” katanya.

GURU WAJIB MENGUASAI

Kedua katanya kompetensi digital sang pendidik di mana guru wajib menguasai pengetahuan dan kemahiran serta berinovatif digital dalam memberikan nilai tambah kepada pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, martabat guru yang diangkat melalui tema Hari Guru 2024 iaitu “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani” membuktikan KPM komited dalam melahirkan para pendidik yang kompeten digital.

Jelasnya, latihan secara bersepadu sedang giat dilaksanakan sebagai penyelesaian untuk mengupayakan pendidik sebagai jauhari pendidikan digital.

“Ketiga pula pemimpin pendidikan yang mempunyai budaya kepemimpinan digital berwawasan,” katanya.

Beliau berkata, segala penjajaran dasar-dasar ini kepada peringkat pelaksanaan memerlukan pemimpin yang bijaksana dan kompeten dalam merangka strategi yang komprehensif dalam membuat keputusan.

BERGANTUNG KEPADA KECEKAPAN

“Kita perlu sedar bahawa proses memimpin ini tidak hanya bergantung kepada kecekapan sumber manusia mahupun melalui dokumen dasar atau Standard Operating Procedure (SOP) semata-mata, malah bergantung juga kepada peranan teknologi sebagai pemangkin dalam memastikan ekosistem digital yang kondusif dapat dicipta dalam organisasi masing-masing,” katanya.

Fadhlina berkata, keempat pula hal berkaitan dengan infrastruktur dan infostruktur digital yang tangkas dan dinamik di semua institusi KPM.

“Kita sangat cakna apabila berbincang hal berkaitan kesaksamaan khususnya melibatkan akses kepada teknologi,” katanya.

Tambahnya, usaha menaik taraf capaian internet berkelajuan tinggi, meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengkomputeran awan serta penyediaan peranti merupakan antara inisiatif yang giat dilaksanakan bagi mengoptimumkan kualiti penyampaian pendidikan digital.

PEMBANGUNAN KANDUNGAN DIGITAL

Manakala kelima pula, pembangunan kandungan digital yang berkualiti juga merupakan inti pati dalam memberikan keluwesan ruang dan peluang murid memperoleh pembelajaran dan pengalaman bermakna

Katanya, pelbagai bahan sumber pendidikan berasaskan digital sedang giat diperkasakan, sebagai contoh pelantar pembelajaran DELIMa, yang ditambah baik secara berterusan bagi meningkatkan pengalaman pengguna, analitis data dan pembelajaran.

Fadhlina berkata, keenam pula bagi memajukan ekosistem pendidikan digital
ini, langkah transformasi antaranya dengan memperkasakan kolaborasi padu KPM bersama-sama pihak sektor swasta, industri atau mana-mana pemegang taruh berkaitan yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi perlu dilaksanakan.

Beliau berkata, dengan jalinan dan jaringan kerjasama dengan rakan strategik melalui pelbagai medium seperti program latihan, sokongan infrastruktur dan infostruktur digital serta pembangunan, pengkomersialan dan inovasi sebegini sangat diperlukan untuk melestarikan agenda pendidikan digital negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *