Oleh Sholina Osman
1 JUN 2024
KERAJAAN menghargai usaha Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia di atas kejayaan program MySavedFood@ Ramadan 2024 apabila berjaya menyelamatkan 60.65 tan makanan dan minuman bernilai RM724,770.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, selain itu pelepasan gas rumah hijau (Greenhouse gas (GHG) emissions) pula sebanyak 113,763 kilogram dapat dihalang.
Beliau berkata, program Program MySaveFood @ Ramadan tahun 2024 yang melibatkan 1,789 sukarelawan GEMA telah dilaksanakan selama 26 hari di 139 buah bazar Ramadan yang telah dikenalpasti.
“Jumlah ini menghampiri 10 peratus daripada keseluruhan bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh Malaysia dan pencapaian ini dilihat meningkat berbanding tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama sempena Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Tahun 2024 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan.
Hadir sama Pengarah Program PPN Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Mohammad Amar Masuri.
Fuziah berkata, dalam pelaksanaan Program MySaveFood @ Ramadan
pada tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah menambahbaik mekanisme pelaksanaan program dengan melibatkan penyertaaan lebih ramai sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang merupakan salah satu penggerak utama kepenggunaan di bawah KPDN.
Katanya, GPS yang diasaskan oleh KPDN merupakan satu entiti kumpulan yang berstruktur, berperaturan dan berkepimpinan yang dianggotai oleh pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
DUTA KECIL KEPENGGUNAAN
“Mereka berperanan sebagai duta kecil kepenggunaan KPDN dalam menyebarluas pendidikan kepenggunaan di kalangan pengguna generasi baharu,” katanyq.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Pemuda GEMA kerana atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan Pemuda GEMA, seramai 323 orang sukarelawan GPS yang terdiri daripada 31 GPS di IPT seluruh negara telah berjaya menyelamatkan sebanyak 14.52 tan makanan dan minuman di 27 bazar Ramadan.
“Saya berharap dengan penglibatan ahli GPS dalam program MySaveFood @ Ramadan pada tahun ini dapat menggalakkan pembudayaan dan pemikiran menolak pembaziran serta menyuburkan nilai ihsan di kalangan siswazah,” katanya
Fuziah berkata, Pemuda GEMA telah berjaya membentuk sukarelawan program Program MySaveFood @ Ramadan
di kalangan ahli GPS melalui sistem pementoran yang sistematik yang melibatkan 31 GPS di cawangan IPT seluruh Malaysia iaitu 21 IPTA dan 10 IPTS.
Katanya, pihak KPDN akan terus menyokong usaha murni program MySaveFood @ Ramadan dan berharap ia menjadi satu budaya yang dipraktikkan dalam skala yang lebih besar lagi yang melibatkan seluruh komuniti masyarakat pada tahun akan datang.
Katanya, kejayaan program ini dilihat daripada jumlah pembaziran yang berjaya diselamatkan dan penglibatan anak muda dalam gerakan sukarelawan yang dapat membentuk nilai Masyarakat MADANI. – JM