Malaysia dipelawa teroka pasaran baharu eksport sumber ikan ke Ivory Coast

Oleh Sholina Osman
31 MEI 2024

Malaysia dipelawa untuk meneroka pasaran baharu bagi pengeksportan sumber ikan ke Republik Côte d’Ivoire atau juga dikenali sebagai Ivory Coast.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan media menyebut, ia adalah dari hasil perbincangan sewaktu kunjungan hormat, Menteri Sumber Haiwan dan Perikanan republik berkenaan, Sidi Tiemoko Toure ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Wisma Tani, Putrajaya, semalam.

Sidi memaklumkan bahawa ikan merupakan sumber utama protein di Republik Côte d’Ivoire dengan purata penggunaan 25 kilogram per kapita setahun.

Beliau berharap supaya Malaysia dapat mengeksport lebih banyak sumber ikan kepada Republik Côte d’Ivoire dan mengalu-alukan kerjasama pertukaran pakar rujuk dalam sektor perikanan.

Dalam kalangan 54 negara-negara Afrika, Republik Côte d’Ivoire merupakan rakan dagangan ketiga terbesar di Malaysia.

Data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Republik Côte d’Ivoire sebanyak RM527.26 juta .

MELONJAKKAN NILAI PERDAGANGAN

Usaha mengeksport sumber ikan ke Republik Côte d’Ivoire dijangka dapat melonjakkan nilai perdagangan Malaysia.

Justeru, pertemuan kedua-dua pemimpin ini penting dalam meneroka peluang meningkatkan perdagangan di antara kedua-dua belah negara.

Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin ini juga membincangkan potensi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor perikanan dan akuakultur.

Selain itu usaha untuk meningkatkan akses pasaran produk Malaysia untuk dieksport ke Republik Côte d’Ivoire seperti produk nilai tambah haiwan, produk telur dan makanan haiwan.

Di kesempatan pertemuan tersebut, Mohamad juga mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta berharap kerjasama dua hala dapat dipertingkatkan lagi.

Di akhir pertemuan, Mohamad menjemput Sidi ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 12 September 2024.

Selain mempelawa penyertaan pihak Republik Côte d’Ivoire dalam acara dwi-tahunan tersebut.

Hadir sama dalam pertemuan ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim bin Ahmad; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain serta pegawai-pegawai KPKM dan Jabatan/Agensi di bawah KPKM. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *