Baucar buku: Pelajar KUIPs berterima kasih kepada PMX

Oleh Sholina Osman
31 MEI 2024

PENGURUSAN dan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 kelmarin.

Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, pengumuman baucar buku ini dilihat dapat membantu pelajar KUIPs terutamanya untuk menerapkan budaya cintakan ilmu sekali gus menggunakan baucar itu untuk pembelian buku nanti.

“Saya juga menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah mengeluarkan kenyataan media mengenai mekanisme pelaksanaan bagi fasa pertama yang menawarkan 50,00 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024,” ujar beliau ketika dihubungi.

Baucar buku untuk pelajar IPT ini akan diagih menguna e-baucar mulai 1 Jun 2024 dan Kod baucar pula akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT – Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT) iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024 (Sabtu) pukul 10.00 pagi.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024.

Manakala kaedah penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.

Moga inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dan KPT.

Sementara itu beberapa pelajar KUIPs yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi yang menguruskan baucar buku ini.

Bagi pelajar semester tiga , Program Asasi Pengajian Islam Andi Surian Suria, 20 dari Sabah pengumuman ini bukan sahaja mengembirakannya dan rakan-rakan di kampus ini malah yang penting mereka dapat menggunakan baucar ini untuk membeli buku sebagai nota tambahan nanti.

Manakala rakannya Nur Aufadini Nor Azhan, 19 berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana sentiasa memberi berita gembira kepada pelajar-pelajar terutamanya.

MERINGANKAN BEBAN

“Pemberian baucar ini dilihat dapat meringankan beban kami seterusnya menggalakkan pelajar lebih berminat untuk membaca walaupun Perpustakaan KUIPs menyediakan bahan bacaan untuk kami,” katanya lagi.

Bagi pelajar semester dua Asasi Pengajian Islam Muhammad Qusyairie Md Rosland, 20 yang dari Terengganu pula, berita ini pastinya memberi kegembiraan bukan sahaja kepada pelajar KUIPs malah seluruh pelajar di negara ini.

“Saya yakin inisiatif ini pastinya akan memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT dari negara ini yang akan dilaksanakan secara berfasa nanti,” sambungnya.

SATU KEJUTAN

Bagi Uwais Al-Qarni Idris, 20 dari Teluk Intan Perak pula pengumuman ini satu kejutan kepada mereka dari KUIPs kerana turut menerima pemberian baucar yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Walaupun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan pemberian baucar ini akan dibuat secara berperingkat namun yang penting kami tidak disisihkan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *