Oleh Sholina Osman
28 MEI 2024
USAHA untuk menjadikan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai presint fesyen dan tekstil disifatkan sebagai pilihan amat tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana semua barangan fesyen dan tekstil Malaysia dapat diperoleh di sini.
“Konsep seperti ini telah pun berjaya dilaksanakan di pelbagai negara yang telah mengangkat kawasan mereka sebagai destinasi kreatif seperti di East London dan Kampung Gelam di Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Geran Kreatif KL di Semua House, Jalan Bunus, Kuala Lumpur.
Dr. Zaliha juga menyambut baik usaha untuk merejuvenasi Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan kebudayaan yang dirujuk sebagai Kuala Lumpur Creative and Cultural District atau KLCCD.
“Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara, bukan sahaja perlu memberi fokus kepada pusat ekonomi semata-mata, tetapi juga boleh dinaik taraf sebagai hab budaya dan kreativiti yang dinamik,” katanya.
Beliau berkata, ia perlu supaya dapat memastikan bandar Kuala Lumpur terus relevan dan berdaya saing di persada antarabangsa.
MEMPERKAYAKAN WARISAN
Katanya, dengan keunikan melalui pembaharuan dan memperkaya warisan budaya serta potensi bandar Kuala Lumpur yang seterusnya akan menjadi daya tarikan kepada
pelancong antarabangsa.
Dr Zaliha berkata, ia juga seiring dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri di mana inisiatif ini akan dapat meningkatkan siling dengan mempromosikan industri kreatif, menyokong inovasi dan memupuk keusahawanan di Pusat Bandar Kuala Lumpur.
“Sekaligus dapat menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi yang akan memacu sebuah pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Jelas Dr Zaliha dengan usaha-usaha pemangkin dalam menyegarkan semula Pusat Bandar Kuala Lumpur yang digerakkan oleh Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mewujudkan sebuah bandar yang lebih rancak dan mampan. – JM