Oleh Noraini Nordin
(Sorotan HAWANA dari Kuching, Sarawak)
28 Mei 2024
KUCHING –
Sambutan Hari Wartawan Nasional atau HAWANA di Kuching sejak tiga hari lalu berlangsung dengan meriah sekali.
Pelbagai program yang diatur oleh Kementerian Komunikasi untuk lebih 1,000 pengamal media dalam dan luar negara yang hadir di HAWANA kali ini.
Tahun lepas, HAWANA diadakan di Ipoh dan tahun ini di Kuching, Sarawak dengan tema ‘Etika Teras Kewartawan Mampan’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk merasmikan HAWANA sekaligus memberikan amanat kepada para wartawan.
Sebelum menyampaikan ucapan, beliau meluangkan masa bertemu dengan kira-kira 20 wakil agensi media antarabangsa dan berbincang mengenai kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan selain menegaskan pendirian Malaysia dalam isu geopolitik semasa serta pendekatan kerajaan terhadap propaganda pelampau politik.
Dalam ucapannya, Anwar mengulangi pendirian Kerajaan Madani untuk memastikan kebebasan media dalam menjalankan tugas bagi memastikan demokrasi terus subur dan matang di negara ini.
Katanya, kerajaan bersikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan selaras amalan demokrasi yang matang.
TANGGUNGJAWAB BESAR MEDIA
Namun, beliau mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab besar yang digalas media dalam laporan-laporan mereka.
Tegas Perdana Menteri, kebebasan media perlu punya batasan dan tidak boleh bebas sebebasnya.
“Mana mungkin kita boleh membenarkan media bebas digunakan gerombolan tertentu untuk memecah belah serta menyemai bibit permusuhan antara kaum dan agama yang boleh merosakkan negara,” ujarnya.
Anwar seterusnya mengingatkan para wartawan tentang cabaran besar untuk menjalankan peranan menyebarkan kebenaran dalam era pasca normal ini, di mana kebenaran kini menjadi semakin relatif dan mengelirukan, selain budaya dan pegangan agama kian terhakis.
“Sebab itu kebebasan itu perlu diikat dengan kod etika kewartawanan yang digubal bagi mengangkat darjat dan harkat pengamal media,” tambahnya lagi.
BERITA GEMBIRA DARI PMX
Dalam pada itu, Anwar turut membawa berita gembira untuk rakan-rakan media, iaitu mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana bagi membantu lebih ramai veteran dan pengamal media yang uzur dan mengalami kesempitan hidup.
Di samping itu, turut diumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Latihan Kecemerlangan Bernama bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pengamal media.
Yang nyata, dengan khabar gembira diumumkan PMX itu, Kerajaan Madani amat menghargai dan menyayangi pengamal-pengamal media.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat