Oleh Sholina Osman
27 MEI 2024
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetap mengambil perhatian berkenaan calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) 2023.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, antara langkah segera yang akan diambil KPM termasuk membuat pengesanan calon yang tercicir.
“Kita akan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan secara ulangan,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Fadhlina berkata, intervensi ini telah dilaksanakan pada tahun lalu dan ternyata ia telah berjaya membuahkan hasil yang positif.
Katanya, KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara.
“Tahniah diucapkan kepada semua calon peperiksaan SPM 2023, guru dan seluruh warga KPM yang telah berusaha keras memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan,”
katanya.
Beliau berkata, Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 adalah 4.60 dengan peratusan calon layak menerima sijil 93.5 peratus.
Katanya, seramai 11,713 calon berjaya memperoleh gred semua A. Keputusan ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Dari segi kehadiran untuk menduduki peperiksaan, seramai 373,525 orang calon (97.4 peratus) telah menduduki peperiksaan SPM 2023,” katanya.
Beliau berkata, jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan telah berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lalu.
Tambahnya, pencapaian ini adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah. – JM