Oleh Sholina Osman
29 MEI 2024
PEMANDU lori “kantoi” setelah perbuatannya mengisi minyak dalam keadaan yang mencurigakan apabila mengambil masa yang lama telah dikesan oleh pihak berkuasa.
Rupanya minyak itu telah diisi ke dalam tangki tambahan yang telah diubahsuai pada lori yang dibawanya.
Berikutan itu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya di sebuah stesen minyak di Jalan Jelapang, Ipoh, Perak pada 24 Mei lalu.
Perkara ini didedahkan oleh Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Bagaimanapun katanya, sebelum itu anggota penguat kuasa berkenaan telah melakukan risikan kira-kira pukul 4 petang pada hari berkenaan sebelum operasi dilaksanakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lori itu, sebanyak 1,700 liter diesel telah ditemui,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, ini berikutan terdapat sebuah tangki tambahan di dalam ruangan muatan lori tersebut yang bersambung dengan tangki asal kenderaan itu.
Katanya, selain itu ditemui juga beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.
HASIL MAKLUMAT AWAL
Azman berkata, hasil
maklumat awal yang diperoleh, modus operandi sindiket ini ialah menggunakan lori yang diubahsuai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak diesel tersebut dikumpulkan dan diedarkan di pasaran gelap.
Sehubungan itu, katanya, sebuah lori berserta tangki tambahan yang mengandungi minyak diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui dalam lori tersebut telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,655.00.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun yang juga merupakan pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
“KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – JM