Advokasi dipergiat galak ramai daftar Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH

Oleh Sholina Osman
29 MEI 2024

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat program advokasi di seluruh negara bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha makanan mendaftar Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ini akan membolehkan peniaga makanan menikmati diskaun khas sehingga 40 peratus bagi pembelian barangan keperluan perniagaan di pasar raya terpilih.

“Ia termasuk Mydin, Econsave, NSK, AEON Big, Giant, Lotus’s, dan Segi Fresh selaku rakan strategik KPDN,” katanya dalam kenyataan media di sini petang ini.

Sementara itu Fuziah juga telah menyampaikan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH kepada seorang pengusaha gerai Nasi Ayam Berempah, Suzana Hanum Ibrahim di Taman Desa Anggerik, Nilai, Negeri Sembilan, pagi ini.

Fuziah berkata, dengan inisiatif yang ditawar dengan kad ini juga salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan Program Menu RAHMAH sebagai galakan untuk meningkatkan lagi bilangan pengusaha restoran menyertainya.

Beliau berkata, tawaran Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini merupakan kerjasama strategik antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran khusus buat pengusaha-pengusaha Menu RAHMAH di seluruh negara.

Katanya, antara barang yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan.

GOLONGAN PENDAPATAN RENDAH

“Kementerian komited dalam memperluaskan dan menjayakan lagi Program Menu RAHMAH bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan di luar dengan harga yang berpatutan,” katanya.

KPDN telah membuka pendaftaran Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH kepada pengusaha makanan bermula pada 2 November tahun lalu.

Permohonan dan maklumat berkaitan kad diskaun khas ini boleh diakses melalui portal Menu RAHMAH https://menurahmah.kpdn.gov.my.

KPDN telah memperluaskan penawaran kad diskaun khas ini bukan sahaja kepada pengusaha restoran malah kepada penjaja dan peniaga kendaraan makanan (food truck).

Usaha murni yang dijalankan oleh KPDN bersama pihak-pihak berkepentingan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Kerajaan Madani dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat seterusnya dapat memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengguna dalam urusan perbelanjaan mereka bagi membeli barang keperluan pada harga yang lebih murah.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881/5905 atau melalui emel spip@kpdn.gov.my. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *