Oleh Sholina Osman
18 MEI 2024
INNOVATHON yang merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia bakal kembali lagi bagi Musim Ke-2.
Rancangan realiti inisiatif Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Astro kali ini melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KP) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerjasama dengan KP dan KPT ini adalah usaha bagi mempopularkan sains dan teknologi di kalangan pelajar, bermula dari peringkat sekolah.
“INNOVATHON Musim Ke-2 lebih memfokuskan kepada penghasilan tenaga kerja dan bakat masa depan yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya sempena majlis pelancaran.
Rafizi menjelaskan, negara sebenarnya memerlukan lebih ramai bakat profesional dalam bidang STEM dan R&D.
“Kita sedar sedang berhadapan dengan cabaran global iaitu golongan muda kurang berminat dengan STEM, R&D dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, diharap menerusi INNOVATHON ini akan jadi satu lagi kaedah yang boleh digunakan terutama untuk menarik minat pelajar supaya di masa hadapan nanti mereka terbuka kepada pelbagai tawaran kerjaya dan hidup yang lebih baik.
SAMBUTAN PESERTA AMAT BAIK
Rafizi berkata, musim pertama INNOVATHON telah mendapat sambutan penyertaan yang baik daripada seluruh negara.
“Daripada peserta yang termuda berusia 10 tahun yang telah membawa inovasi “Fun Toothbrush Cover” yang mampu memupuk minat kanak-kanak untuk memberus gigi, kepada peserta tertua berusia 73 tahun dengan rekaan “Distress Signal Actuating System” (DSAS), satu sistem panggilan kecemasan sewaktu berlaku kerompakan atau kecurian, adalah adalah bukti kualiti idea-idea inovatif yang wujud dalam negara kita,” katanya.
Katanya, NACOTS, peranti sensor DNA mengesan virus dan kanser, oleh Prof. Madya Dr. Zainiharyati Mohd Zain, pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dinobatkan sebagai pemenang INNOVATHON musim pertama.
“Naib juara telah dimenangi oleh produk Putra UAV 2.0 dengan inovasi sebuah dron yang dihasilkan daripada fiber daun nanas tetapi kualitinya sama seperti dron yang diperbuat daripada besi dan bahan lain,” katanya.
Manakala katanya, tempat ketiga pula dimenangi oleh “Plastic to Fuel” dengan rekaan prototaip mereka yang menukar plastik terbuang kepada bahan api,” katanya.
Beliau menyatakan akan bertemu dengan wakil daripada “Plastic to Fuel” untuk berbincang bagaimana boleh mempercepatkan usaha pengkomersialan mereka.
“Tugas kami di Kementerian tidak berakhir di episod terakhir musim pertama malah bersambung selanjutnya untuk memastikan idea-idea mereka yang menang dapat dikomersilkan dan peserta-peserta berjaya membangunkan produk dan juga bisnes mereka,” katanya.
Katanya, ini kerana INNOVATHON adalah pemudahcara dalam usaha pihaknya untuk menstrukturkan ekonomi dan memupuk inovasi bagi mendapatkan lebih banyak penyertaan daripada masyarakat dalam bidang-bidang seperti ini.
“Saya berharap momentum INNOVATHON dapat diteruskan, dan terus memberi kesan dan membuka minda rakyat Malaysia, terutamanya anak-anak muda,” katanya. – JM