Oleh Noraini Nordin
(Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)
19 Mei 2024
WILAYAH SHAANXI- Melaksanakan reformasi industri adalah langkah paling berkesan untuk membasmi kemiskinan serta menoktahkan pengangguran kalangan rakyat khasnya golongan muda.
Selain itu melalui refomasi industri, jurang kemiskinan dan jurang pembangunan antara bandar dan desa dapat dirapatkan.
Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Shaanxi, (yang bertaraf TYT kepada Wilayah Shaanxi yang mempunyai 40 juta penduduk ) Zhao Yide membuat perkongsian tersebut dalam pertemuan dengan delegasi KEADILAN yang diketuai oleh Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar di wilayah itu pada Jumaat lalu.
Zhao Yide mengambil contoh apa yang telah pihak beliau berjaya lakukan di Wilayah Shaanxi melalui strategi reformasi industri.
Menurut Zhao Yide reformasi industri di kawasan-kawasan luar bandar yang penduduknya dahulu miskin kini berubah wajah serta mampu meraih pendapatan tinggi.
Jelasnya reformasi industri secara menyeluruh sehingga kawasan kampung berjaya dimajukan serta dimodenkan sehingga mampu menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.
MEMBINA KILANG KOMUNITI
Menurut beliau, inisiatif boleh dimulakan dengan membina kilang komuniti yang mampu menawarkan pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Pegawai parti diletakkan di setiap komuniti kampung untuk memantau dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.
“Biasanya 18 pegawai akan ditempatkan bagi setiap 10,000 penduduk, ” jelas beliau lagi yang turut mempelawa para delegasi melawat produk-produk reformasi industri di wilayah tersebut.
Beliau berkata, bagi industri yang memerlukan kenaikan taraf, kerajaan sendiri akan membantu dari segi kepakaran sains dan teknologi dengan memberi penekanan kepada kualiti serta kuantiti pengeluaran.
Jelas beliau lagi, bantuan daripada kerajaan tersebut amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara semasa proses pembangunan dilaksanakan.
Katanya, sokongan kepada rakyat berpendapatan rendah yang dipantau secara konsisten mampu memastikan rakyat yang terlibat tidak kembali ke kancah kemiskinan.
Dalam pertemuan itu juga, Nurul Izzah turut berkongsi mengenai Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 yang telah menunjukkan kesan Covid-19 terhadap kemiskinan.
Kajian yang pernah dilaksanakan di Permatang Pauh telah memperincikan kaedah lebih realistik, komprehensif dan holistik bagi mengukur kadar kemiskinan.
Usaha ini dapat memastikan golongan miskin tegar dapat pertolongan yang sewajarnya, selari dengan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat