Aura PMX makin harum dari Asia Tengah hingga ke Benua China

Oleh Noraini Nordin
(Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)

17 Mei 2024

BEIJING –
Walaupun sedang bermusafir di negara China penulis tetap mencari ruang untuk membaca berita-berita dari Malaysia khasnya yang berkaitan dengan PMX.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak pernah penat dalam berusaha untuk menjalin hubungan dua hala dengan pelbagai negara dunia.

Setelah menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar yang antara pencapaian gemilangnya berjaya meraih potensi ekspot barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM700 juta ke negara tersebut, Anwar menyambung lagi misi lawatannya ke negara lain.

Kawasan yang dituju ialah Asia Tengah dengan tiga negara dijadikan tumpuan – Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan.

MENJALINKAN HUBUNGAN DUA HALA LEBIH AKRAB

Lawatan ke tiga-tiga negara ini lebih tertumpu kepada usaha menjalin hubungan dua hala yang lebih akrab serta meneroka peluang menang-menang demi manfaat bersama.

Selain diberi sambutan rasmi dan bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin negara yang dilawatinya itu, program lain yang dihadiri Perdana Menteri ialah seperti menghadiri acara kebudayaan dan melawat tempat-tempat bersejarah.

Lawatan ini adalah penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta bagi menerima peluang-peluang baru bagi kepentingan bersama.

Sebagai negara yang sedang berkembang serta mempunyai dasar berkecuali, menjalin hubungan dengan banyak negara adalah penting demi kebaikan masa depan.

Dalam hal ini, Anwar terus gigih, bukan saja memperkenalkan negara ke merata dunia, tetapi juga menjalin hubungan yang lebih baik dengan mereka.

Semua yang dilakukannya adalah demi masa depan negara serta untuk rakyat mendapat manfaatnya.

KESAN POSITIF PENGARUH PMX

Penulis sendiri turut merasa kesan positif daripada pengaruh PMX di negara China .

Sepanjang menjadi tetamu di negara ini para delegasi dari Parti KEADILAN Rakyat mendapat layanan mesra serta amat dihargai.

Program yang diatur untuk para delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar amat bermanafaat dan mencakupi pelbagai bidang khasnya bagi kesejahteraan Malaysia Madani.

Objektif utama kunjungan rasmi 50 delegasi KEADILAN ke negara ini adalah untuk meningkatkan hubungan diplomatik antara Parti KEADILAN dengan China sempena memperingati Ulang Tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia- Republik Rakyat China.

KEPIMPINAN YANG DISEGANI

Nama PMX yang telah mengharum di China membuatkan penulis turut merasa bangga sepanjang berada di negara tembok besar ini.

Kepimpinan beliau sebagai peneraju negara amat disegani serta disenangi.

Untuk rekod – PMX telah melakukan lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula pada 30 Mac 2023 lalu.

Lawatan PMX disifatkan sebagai salah satu lawatan yang besar dan istimewa bagi menunjukkan komitmen kuat dan hubungan baik yang terjalin antara ke dua-dua negara.

China menjadi negara pertama di Asia Timur yang dilawati oleh Anwar sejak mentadbir Kerajaan Perpaduan.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *