Oleh Sholina Osman
15 MEI 2024
PETANDA Zon Aliran Bebas di pintu sempadan Malaysia- Thailand di Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar bakal dibuka semula sejak ditutup pada tahun 2015 semakin cerah.
Ia berdasarkan komitmen kerajaan MADANI dibawah
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menaiktaraf Pos Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Wang Kelian yang sudah uzur.
Kompleks ICQS yang baharu ini nanti akan menempatkan semua agensi terbabit seperti Imigresen, Kastam, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela di bawah satu bumbung iaitu Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
“Saya jangkakan projek ini akan disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan ianya secara tidak langsung akan memberikan impak yang positif kepada negara secara keseluruhanya,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media semasa melakukan kerja di Pos ICQS Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar.
Bagaimanapun kata Saifuddin Nasution berkata, pihaknya tetap akan mengutamakan aspek keselamatan.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI ISU KESELAMATAN
“Kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan sebaliknya pada masa akan datang kita akan memperketatkan prosedur berbanding sebelum ini,” kataya.
Beliau berkata, ketika laluan ini dibuka dahulu, orang ramai hanya perlu tunjuk kad pengenalan dan tiada dokumentasi yang lengkap.
Katanya, antara komponen lain yang dirancang adalah membina laluan empat lorong bagi “inbound” dan “outbound” berbanding ketika ini selorong sahaja,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berhubung perkara ini.
“Saya juga telah sembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenaan cadangan pembukaan semula laluan ini di mana Baginda telah beri sokongan.
Beliau berkata, Baginda bertitah juga supaya KDN dan kerajaan negeri dapat duduk bersama bagi memudahcara pelaksanaannya.
Saifuddin Nasution berkata, apabila siapnya Kompleks ICQS Wang Kelian ini nanti akan dapat tingkatkan sistem penyampaian di samping memudahkan aspek ekonomi dan perdagangan.
Katanya, antara komponen yang bakal dibangunkan ini juga akan melibatkan kawasan Arked Niaga Wang Kelian dengan pembangunan semula kawasan gerai di sana. – JM