Pelaburan Geely potensi besar automatif Malaysia

Oleh Noraini Nordin

(Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)

16 Mei 2024

BEIJING –
Malaysia mempunyai potensi yang besar sebagai hub automotif utama pengoperasi Geely yang dapat memberi manfaat kepada negara.

Duta Besar Malaysia ke China, Datok Norman Muhamad berkata beliau yakin pelaburan Geely itu juga mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan negara.

“Saya baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Encik Eric Li, Pengerusi dan Pengasas Geely Holding Grup di Ibu Pejabat Geely di Hangzhou, China.

“Kami bertukar-tukar pandangan mengenai industri automotif negara, termasuk pelaburan Geely dalam Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak” jelas beliau sewaktu berucap di Majlis Ramah Mesra Sempena Kunjungan Delegasi Parti KEADILAN ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing Republik Rakyat China petang semalam.

Jelas Datok Norman lagi dalam sektor E.V. global, China menguasai 34 peratus pasaran dunia.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu , jenama-jenama kenderaan E.V China telah pesat mengisi pasaran dunia dengan merekodkan jualan sebanyak sembilan juta unit kenderaan.

“Saya berharap kerajaan di bawah pimpinan PMX Datok Seri Anwar Ibrahim dapat terus memberi sokongan penuh kepada syarikat-syarikat seperti Geely, ” katanya.

PEMBASMIAN KEMISKINAN DI CHINA

Menyentuhi mengenai pembasmian kemiskinan di China , Datok Norman berkata banyak yang boleh Malaysia pelajari daripada negara ini.

Jelas Datok Norman, pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kerajaan China, antaranya termasuklah ‘ The Belt and Road Initiative (BRI)’ telah memberikan impak positif terhadap usaha kemiskinan di peringkat nasional.

Menurut beliau lagi pada tahun 2022, pendapatan boleh guna (disposable income) per kapita bagi penduduk luar bandar di China adalah sebanyak RMB15,111 (RM9,838.30), peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

PERBANDINGAN PENDAPATAN

“Sebagai perbandingan, jumlah pendapatan boleh guna (disposable income) per kapita bagi tempoh yang sama tahun 2022 adalah sebanyak RM5,413

” Oleh itu saya percaya bahawa banyak yang dapat kita pelajari daripada China, merentasi pelbagai sektor pembangunan negara.
Semoga lawatan delegasi KEADILAN ke China memberi manafaat yang besar, bukan sahaja kepada kepimpinan parti juga kepada negara, ” katanya.

Lawatan rasmi 50 delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China ini diketuai oleh Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar .

Objektif utama kunjungan rasmi delegasi KEADILAN ke negara ini adalah untuk meningkatkan hubungan diplomatik antara Parti KEADILAN dengan China sempena memperingati Ulang Tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Republik Rakyat China.

Selain itu lawatan selama sepuluh hari ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang industri berteknologi tinggi, tumpuan pelaburan strategik, kepakaran industri yang luas, program belia, pembasmian kemiskinan dan pengurusan ekonomi yang cekap serta sekuriti makanan yang terjamin.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *