Oleh Noraini Nordin
(Sorotan Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia- China)
14 Mei 2024
BEIJING -Menteri Jabatan Antarabangsa Pusat Parti Negara China (IDCPC) TYT Liu Jian Chao memuji pimpinan Malaysia yang diterajui oleh PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berani membuat keputusan dan tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar.
Ketegasan Malaysia itu juga menurut Liu amat dihormati kerana Malaysia juga mengamalkan sikap mahu berdamai dengan semua dan tidak memilih untuk bermusuh dengan sesiapa pun.
Liu berkata demikian dalam pertemuan dengan delegasi Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) yang melawat negara tersebut sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia – China.
Dalam pertemuan petang semalam delegasi KEADILAN yang diketuai oleh Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar turut berbincang pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa bagi kepentingan bersama, termasuk kerjasama antara parti.
Dalam pertemuan tersebut, Liu secara khusus menekankan pentingnya China mengeratkan hubungan Malaysia atas pelbagai manfaat yang boleh diraih bersama.
RAKAN DAGANG TERBESAR MALAYSIA
Katanya, hubungan dagang sudah pun membuahkan hasil kerana China adalah merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 lagi.
Untuk rekod, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan pada tahun 2023 berjumlah RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion).
“Malah negara ASEAN kini mempunyai potensi yang cukup besar kerana ia dipimpin oleh barisan pemimpin yang berwibawa,” ujar Liu lagi.
Pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Beijing juga mencerminkan persahabatan erat dan persefahaman antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 sejak termeterainya Kenyataan Bersama (Joint Communique) antara Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri, Zhou Enlai pada 31 Mei 1974.
Dalam konteks hubungan dagang, Liu dan Nurul Izzah setuju tentang keperluan melakukan perubahan di mana jika duhulu Malaysia mengeksport bahan mentah seperti kelapa sawit kepada China tapi sekarang ini negara tersebut sedang melihat kepada pemerkasaan teknologi, keselamatan siber, kereta letrik dan AI (kecerdasan buatan).
Dalam bab politik serantau pula, mereka turut bersetuju agar China dan Malaysia lebih berwaspada agar tidak terpedaya dengan dwistandard, retorik atau berita palsu yang ditular oleh pihak-pihak tertentu.
Tidak lupa juga, dalam pertemuan itu mereka turut menyuarakan pendirian China yang sama seperti Malaysia dalam mengambil berat tentang konflik yang sedang berlaku di Gaza dan Ukraine.
Kedua-dua mereka juga senada menzahirkan simpati terhadap mangsa-mangsa perang yang terkorban.