Kerajaan akan laksana inisiatif sasar semula subsidi – Armizan

Oleh Sholina Osman
12 MEI 2024

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan akan melaksanakan inisiatif bagi menyasarkan semula subsidi yang bukan bermaksud akan memotong atau memansuhkan subsidi sedia ada.

Beliau berkata, ia adalah bertujuan untuk memastikan bahawa subsidi itu betul-betul dapat sampai kepada sasarannya.

Menurut beliau, penyasaran semula subsidi juga adalah bagi membolehkan kerajaan meningkatkan jumlah pemberian tunai kepada rakyat.

“Langkah melaksanakan penyasaran semula subsidi mesti disertai dengan jaminan perlindungan dan bantuan sosial untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Karnival KPDN peringkat Perlis di sini Dataran Lapang, Kangar Jaya, Kangar.

‘KITA PENGGUNA, DAYA NEGARA’

Ia bertemakan “Kita Pengguna, Daya Negara” bagi mempromosi fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi kepada rakyat dalam meningkatkan hala tuju KPDN.

Armizan berkata Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2024 yang julung kali diadakan di Perlis.

Katanya, ia merupakan pembuka tirai untuk siri jelajah program pembangunan perniagaan yang akan dianjurkan di seluruh negara antaranya Kelantan, Sarawak, Perak, Sabah dan Melaka bermula bulan Mei hingga Disember.

Katanya, karnival bersempena dengan 40 tahun pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) menonjolkan penyampaian perkhidmatan kementerian secara langsung kepada rakyat dan sesi libat urus melalui advokasi kepenggunaan, advokasi penguatkuasaan, inisiatif di bawah Payung RAHMAH dan sebagainya.

Tambahnya, jelajah ini membuka peluang dan potensi melalui padanan perniagaan dan promosi lebih besar khususnya para peniaga Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Armizan berkata, inisiatif ini mampu mengukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli dan menggunakan produk, barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara agar lebih berdaya saing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *