Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)
Pengundi-pengundi DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) sudah menunjukkan isyarat jelas serta ‘jalan keluar’ kepada kaki-kaki fitnah yang berkempen secara adu domba khasnya yang asyik memburuk-buruk nama PMX.
Walaupun PRK Kuala Kubu Bharu hanyalah proses pengundian bagi peringkat Dun Selangor, tetapi tidak dapat dinafikan keputusan yang dibuat oleh pengundi semalam adalah suatu pengiktirafan serta pengukuhan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana pihak lawan iaitu PN sendiri lebih banyak menyasarkan serta menyebut nama Anwar sebagai subjek serangan dalam kempen-kempen yang mereka adakan.
Hampir semua perkara mengenai Anwar dijadikan modal kempen dengan harapan pengundi menolak calon PH yang ditonjolkan, Pang Sock Tao.
Tetapi dengan pengundi Kuala Kubu Bharu terus memberi kepercayaan kepada PH mengekalkan kerusi Dun Kuala Kubu Bharu, bermakna kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri semakin diterima serta diyakini.
Di sebalik peratusan keluar mengundi yang rendah, tetapi majoriti kemenangan PH tidak jauh berbeza berbanding pencapaian pada PRN yang diadakan Ogos 2023 lalu.
Pada PRN lalu, PH menang di Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi, manakala pada PRK semalam, majoriti yang diperolehi ialah 3,869 undi.
Begitu pun, secara keseluruhannya, peratusan pengundi yang menyokong calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK semalam telah menunjukkan peningkatan berbanding PRN lalu iaitu daripada 54.4% kepada 57.2%.
SOKONGAN PENGUNDI MELAYU MENINGKAT
Sokongan pengundi Melayu meningkat daripada 39% peratus kepada 42.7%, pengundi Cina daripada 85.3% kepada 88.4% dan pengundi India daripada 60% kepada 70.2%.
Undi daripada pengundi campuran yang melibatkan orang asli juga menunjukkan peningkatan daripada 60.1% pada PRN lalu kepada 63.1%.
Turut meningkat ialah undi daripada polis dan tentera di mana pada PRN 2023, pengundi polis memberikan 388 undi untuk PN (76.5 peratus) dan hanya 119 untuk PH (23.47 peratus).
Ia berubah sepenuhnya semalam, dengan 249 mengundi untuk PH (84.1 peratus) dan 47 untuk PN (15.8 peratus).
Sementara itu, terdapat juga peralihan dalam sokongan undi tentera kepada PH daripada hanya 27 undi (16 peratus) pada PRN 2023 kepada 84 undi (54.2 peratus).
Dengan hakikat ini, tidak disangkal lagi bahawa semua segmen pengundi di Kuala Kubu Bharu memberi isyarat sokongan yang semakin kukuh kepada Anwar untuk terus menerajui Kerajaan Perpaduan.
Pengundi-pengundi KKB memang amat cerdik. Kempen adu domba, memfitnah PMX secara tidak berasas langsung tidak menjejaskan pendirian mereka untuk memilih calon Perpaduan.
Tahniah kepada pengundi KKB. Kalian memang hebat dan bijak untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat