100 pelajar KUIPs ikuti program Kewangan Islam dan Liqa’

Oleh Sholina Osman
13 MEI 2024

Seramai seratus pelajar Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam (FMKI) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) terlibat dalam program “Sembang Santai Kewangan Islam dan Liqa’ Fakulti”

Program ini anjuran bersama FMKI dan Persatuan Mahasiswa Muamalat dan Kewangan Islam (SMIF) di Homestay Teratak Kayu di Kuala Perlis.

Ia bertujuan sebagai landasan kepada mereka untuk memperolehi pembelajaran di luar kelas dengan lebih efektif dengan perkongsian santai berkaitan isu-isu semasa kewangan Islam.

Program ini dikendalikan oleh beberapa ahli panel termasuk Penasihat Akademik FMKI Prof Madya Dr Selamah Maamor yang juga Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), wakil penasihat industri FMKI Mohd Hafizullah Md Abas selaku Daie Profesional Mawarith Wasiyyah Shoppe Berhad dan dua alumni FMKI, Muhd Khairunsani Halim dan Nur Syaza Shafie.

PEMBELAJARAN LUAR KELAS

Pemangku Dekan FMKI, Mardziyah Mohd Isa berkata, budaya ilmu tidak terhad di dalam kelas sahaja, pembelajaran di luar kelas seumpama ini akan lebih memberi impak positif kepada mahasiswa untuk memahami isu-isu semasa yang berlaku dalam kewangan Islam.

Katanya, sekaligus dengan program ini dapat menzahirkan keakraban warga FMKI dengan perjumpaan (liqa’) barisan pentadbir dan pensyarah FMKI bersama mahasiswa.

Katanya, kerjasama erat warga FMKI telah berjaya melaksanakan program yang julung kalinya diadakan dan berharap dijadikan acara tahunan nanti.

Pengarah program, Nur Syamilah Md Noor berkata, mereka memilih suasana desa kerana permintaan mahasiswa yang ingin merasai keindahan negeri Perlis yang terkenal dengan suasana desa yang permai dan Homestay Teratak Kayu Kuala Perlis.

Sementara itu pelajar Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam, Muhamad Rosydin Adzmeer Abidin ketika ditemui merakamkan terima kasih kepada pihak FMKI kerana merealisasikan idea beliau untuk mengadakan program ini secara rewang sekaligus mengeratkan ukhwah antara pensyarah dan mahasiswa.

“Nasi hujan panas, rendang ayam, bihun sup utara, sate dan kambing bakar yang disajikan ini pastinya akan mengingatkan mereka yang menyertainya,” sambungnya lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *