Kastam Perlis gagalkan cubaan seludup diesel, minuman keras tidak bercukai

Oleh Sholina Osman
13 MEI 2024

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis terus komited membanteras kegiatan penyeludupan minyak diesel ke negara jiran.

Terbaharu kata Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, pihaknya telah merampas 2, 001 liter minyak diesel bernilai RM4, 302.15 dari tiga kes yang telah berjaya dikesan.

Beliau berkata, turut disita tiga kenderaan bagi setiap kes tangkapan ini yang kesemua bernilai RM195,000.00.

“Kes pertama pada pukul 9.30 pagi, 24 April lalu di mana anggota JKDM dari Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori treler bernombor pendaftaran Thailand di laluan eksport, Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lori treler itu membawa tangki bahan api tambahan yang berisi cecair disyaki minyak diesel.

“Anggaran isi padu minyak diesel adalah 1,920 liter yang dianggar bernilai RM4,128.00 manakala lori treler bernilai RM110,000.00 di mana kesemua rampasan bernilai RM114,128.00,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM di Kangar, Perlis.

Beliau berkata, pemandu lori seorang warganegara Thailand yang berusia 40 tahun ditahan untuk siasatan.

Ismail berkata, kes kedua pada pukul 10.30 pagi, 24 April di mana anggota JKDM Cawangan Penguatkuasa Padang Besar menahan sebuah pikap Thailand jenis Toyota Hilux di laluan eksport Kompleks ICQS Padang Besar.

Katanya, hasil pemeriksaan ditemukan minyak diesel yang diisi dalam dua botol dan tiga beg plastik yang disorok di bawah tempat duduk penumpang bahagian belakang dan tempat letak kaki pemandu dan penumpang hadapan.

“Kesemua minyak diesel ini sebanyak 48 liter yang bernilai RM103.20 dan kenderaan pula RM40,000 dan kesemua rampasan berjumlab RM40,103.20,” katanya.

Tambahnya, seorang lelaki warga Thai berumur 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya bagi kes ketiga pula, pada pukul 10.40 pagi, 24 April pula JKDM Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar telah menahan pikup Thailand di lauan eksport Kompleks ICQS Padang Besar.

Ismail berkata, hasil pemeriksaan ditemukan minyak diesel dalam 12 botol dan tiga beg plastik yang disorok di tempat duduk penumpang bahagian belakang dan ruangan enjin kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua minyak diesel berjumlah 33 liter itu bernilai RM70.95 manakala kenderaan bernilai RM45,000.00 dengan kesemua rampasan berjumlah RM45,070.95.

Katanya, pemandu warga Thai berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara kes keempat katanya melibatkan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun telah ditahan kerana cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM616.00 dan cukai RM876.84.

Beliau berkata, perbuatan itu dikesan hasil pemeriksaan anggota JKDM Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar ke atas proton Wira yang dipandu wanita berkenaan di Lorong Import Kompleks ICQS Padang Besar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *