Seminar SIRaj VII sedarkan rakyat institusi Raja tonggak pembinaan negara – Fadhlina

Oleh Sholina Osman
10 MEI 2024

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek yakin Seminar Institusi Raja (SIRaj VII) mampu
memberikan kesedaran dan penegasan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan institusi Raja sebagai tonggak pembinaan negara bangsa yang bertamadun ini.

Beliau berkata, dalam konteks seminar ini, elemen bahasa dan budaya Melayu merupakan elemen ampuh dalam memastikan kelangsungan Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif, namun masih mempunyai pasak kukuh yang melibatkan bahasa, sastera, budaya, dan persuratan Melayu.

“Seminar ini bertujuan untuk memberikan penjelasan berkaitan peranan institusi Raja bagi menaungi dan melindungi elemen bahasa dan budaya Melayu,” katanya semasa berucap pada seminar berkenaan yang dianjurkan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan menyempurnakan pelancaran seminar berkenaan.

Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahareen Khalil Akasahah.

Fadhlina berkata, pentingnya elemen bahasa dan budaya Melayu ini seperti yang terkandung dalam Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Katanya, pqda prinsip keenam
wasiat tersebut menegaskan bahasa Melayu telah ditetapkan menjadi bahasa kebangsaan di negara tercinta ini.

“Seminar ini membuktikan bahawa institusi Raja, khususnya Raja Muda Perlis yang sentiasa cakna dan peduli dalam hal berkaitan bahasa, sastera, budaya, dan persuratan Melayu walaupun dalam era dunia tanpa sempadan dan digital ini.

KEPRIHATINAN RAJA MUDA

Selain itu katanya, komitmen dan keprihatinan Raja Muda dalam hal ini menunjukkan institusi Raja mampu menjadi benteng yang amat kukuh bagi melindungi elemen tersebut yang merupakan “tiang seri” negara ini.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata, rakyat Malaysia perlu terus menyuburkan kesedaran kolektif bangsa untuk membentuk keperibadian kebangsaan.

Tambahnya, DBP pula sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu dan tamadun negara, patik dan sekalian warganya akan terus melaksanakan dan melipatgandakan usaha
untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan
wawasan utamanya, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *