PMX bawa khabar gembira untuk rakyat Terengganu

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan Berita)

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu semalam, apa yang paling menarik ialah komitmen dan tekad beliau untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu dalam tempoh dua bulan.

Meskipun negeri Terengganu adalah negeri pembangkang, tetapi Perdana Menteri telah memperlihatkan jiwa adilnya selaku ketua kerajaan.

Di mana-mana saja terdapat masalah yang perlu diselesaikan, maka beliau akan memperlihatkan komitmennya dengan mengenepikan sama sekali unsur-unsur politik kepartian dalam tindakannya.

Katanya, jika gerak kerja diselaraskan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, tiada masalah untuk menyelesaikan kemiskinan tegar di Terengganu dalam tempoh dua bulan.

KEMISKINAN TEGAR

Menurut beliau, berdasarkan statistik sehingga 2 Mei lalu, terdapat 1,663 keluarga berada dalam kelompok miskin tegar di Terengganu.

‘Kita bincang dengan Persekutuan dan kerajaan negeri akan selesaikan, insya-Allah dengan jumlah tak sampai dua ribu takkanlah dengan seluruh agensi kementerian, pelbagai kementerian dengan kerajaan negeri kita tidak boleh tolong 1,000 keluarga supaya selamat daripada kemiskinan yang tegar.

“Maksudnya yang tak cukup makan, tidak ada pakaian untuk anak-anak, susah untuk beli uniform (pakaian) anak-anak ke sekolah dan seumpamanya.

“(Ini boleh dicapai) dengan syarat kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama sepenuhnya (untuk) kita kenal pasti jumlah 1,600 keluarga dan insya-Allah, di negeri Terengganu, kita boleh noktahkan kemiskinan tegar itu dalam tempoh dua bulan akan datang,” tegasnya dengan yakin.

Untuk itu, tambah Anwar lagi, besar harapan beliau agar semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Terengganu ini secara lebih berkesan.

SEJARAH PERJUANGAN ANWAR

Mengimbau sejarah perjuangan Anwar sebelum ini, memperjuangkan isu kemiskinan memang antara perkara yang dekat dengan dirinya.

Bermula dengan demostrasi Baling pada 1974 yang membawanya ditahan di bawah ISA, kemudian dalam banyak ucapannya selepas itu, sama ada ketika berada dalam kerajaan atau pembangkang, memperjuang serta membela rakyat tidak pernah lekang daripada ungkapan perjuangannya.

Selaku Perdana Menteri sekarang, dalam beberapa lawatan ke negeri-negeri, menyelesaikan miskin tegar boleh dikata sudah menjadi keutamaannya.

Kini giliran Terengganu menerima khabar gembira itu.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *