Rafizi bersyukur fungsi Kementerian Ekonomi kini lebih difahami rakyat

Oleh Sholina Osman
11 MEI 2024

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli melahirkan rasa syukur apabila fungsi Kementeriannya yang kini lebih setahun itu lebih difahami oleh rakyat.

Beliau berkata, salah satu cabaran pada awal penubuhan Kementerian Ekonomi ketika itu ialah memahamkan rakyat dan pemegang taruh mengenai fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi.

“Ini kerana sejak Merdeka, Kementerian Ekonomi hanya wujud baharu dua kali – semasa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ditubuhkan (2018-2020) dan sejak 2022 sehingga kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan YB Menteri Ekonomi Bersama Warga Kementerian Dan Pelancaran Program Dekad Bahasa Kebangsaan di Wisma
Prisma, Putrajaya.

Ucapan ini adalah dari status yang dimuat turun dalam FBnya.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Rafizi berkata, di semua masa yang lain itu, fungsi perancangan jangka panjang pembangunan, ekonomi dan sosio-ekonomi telah diletakkan di bawah Perdana Menteri, melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

PERANCANGAN JANGKA PANJANG

Selain membuat perancangan jangka panjang, katanya, EPU juga bertanggungjawab menguruskan Belanja Pembangunan, iaitu merancang, menilai dan meluluskan projek-projek pembangunan (fizikal dan bukan fizikal).

“Kini EPU menjadi tulang belakang Kementerian Ekonomi, bersama-sama dengqn beberapa agensi utama lain seperti Jabatan Statistik, pihak-pihak berkuasa koridor ekonomi (IRDA, ECER, NCIA, SEDIA dan RECODA), agensi mandat Bumiputra (Teraju, Yayasan Peneraju dan Ekuinas), agensi galakan sektor minyak dan gas (MPRC) dan kawal selia ke atas perbadanan-perbadanan ekonomi negeri (PKEN),” katanya.

Oleh itu kata Rafizi, peranan Kementerian Ekonomi adalah mencakupi semua bidang yang diterajui oleh kementerian-kementerian lain kerana hala tuju dasar dipandu oleh dasar-dasar yang dibangunkan oleh kementerian ini.

Beliau akui, pada awalnya, ada yang terkeliru apabila Kementerian Ekonomi membangunkan projek-projek pertanian moden melalui IPR kerana itu dilihat fungsi Kementerian Pertanian.

Beliau berkata, begitu juga apabila Kementerian Ekonomi membangunkan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) kerana itu dilihat fungsi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Apabila Kementerian Ekonomi membangunkan Pelan Tindakan KL20 untuk sektor digital dan teknologi, ada yang mempersoalkannya kerana ia dilihat mengacau fungsi kementerian-kementerian lain,” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, fungsi Kementerian Ekonomi bagi membangunkan dasar dan rancangan yang merentas kementerian dan bidang untuk membina ekonomi negara yang mampan dan adil telah difahami rakyat.

Sebab itu katanya, semua tumpuan Kementerian Ekonomi adalah bersifat jangka panjang dan berbentuk reformasi struktur.

“Contoh yang paling jelas ialah mengenai peralihan tenaga adalah reformasi ekonomi yang sangat penting,” katanya.

Sebab itu katanya, ia adalah reformasi struktur ekonomi yang paling awal dilancarkan Kementerian Ekonomi dalam tempoh 6 bulan pentadbiran kerajaan Madani.

Selain membuat perancangan jangka panjang, katanya, EPU juga bertanggungjawab menguruskan Belanja Pembangunan, iaitu merancang, menilai dan meluluskan projek-projek pembangunan (fizikal dan bukan fizikal). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *