Oleh Sholina Osman
8 MEI 2024
KETUA Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek yakin penubuhan Sekolah Wanita (SWAN) mampu menjadi platform untuk pendidikan demokrasi, politik dan sosial bagi melatih pemimpin-pemimpin masa depan.
Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat SWAN yang dibangunkan untuk memperkasakan kecerdasan wanita di negara ini.
“Kita bakal melatih 100 wanita menerusi program SWAN ini,” katanya yang juga Menteri Pendidikan Malaysia.
Sebelum itu, Fadhlina berucap pada majlis pelucuran SWAN anjuran Wanita KEADILAN yang telah disempurnakan oleh Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di The Everly, Putrajaya.
Fadhlina berkata, SWAN adalah sebuah institusi pelatihan bagi mempersiapkan golongan wanita untuk mendepani cabaran kepemimpinan semasa dalam masyarakat dan seterusnya diharapkan mampu menggalas tanggungjawab meneraju negara.
TUJUH PAKAR DALAM PELBAGAI BIDANG
Buat masa ini katanya, inisiatif SWAN melibatkan seramai tujuh pakar dalam pelbagai bidang yang akan berperanan selaku pembimbing dan tenaga pengajar.
SWAN FOKUS 7 DOMAIN
Katanya, SWAN akan memberi fokus kepada tujuh domain pelatihan, antaranya politik-kenegaraan, ekonomi, advokasi, demokrasi, perundangan, kesejahteraan dan personaliti keterampilan sebagai teras utama sukatan pendidikannya.
Katanya, SWAN akan dibuka kepada semua individu wanita di negara ini tanpa mengira latar belakang, namun akan melalui proses pemilihan untuk angkatan awal pengambilan peserta, memandangkan tempatnya yang terhad.
Beliau menambah, sekolah itu akan beroperasi di sebuah premis dengan dilengkapi kelas, tenaga pengajar.
Fadhlina berkata, Yong Bazilah Abu Bakar sebagai Pengetua di mana akan dibarisi dengan beberapa konsultan serta pakar perunding juga dilantik bagi mengendalikan sesi bersama sekolah itu.
“Penyertaan akan dibuat secepat mungkin dan kelas dijangka beroperasi bulan hadapan secara percuma,” katanya. – JM