Negara tidak disanjung jika rasuah menggunung

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

ADUHAI…bukan sahaja hati membengkak malah degupan jantung saya juga hampir terhenti apabila SPRM mendedahkan dalam tempoh lima tahun negara kerugian RM277 bilion akibat gejala rasuah.

Pendedahan SPRM ini amat mengejutkan kerana jumlah tersebut luar biasa banyaknya hingga boleh membantutkan pembangunan negara serta menjejaskan usaha untuk mensejahterakan rakyat.

Amalan rasuah jika tidak dibendung adalah bala dan bencana besar yang boleh merosakkan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam pendedahannya berkata, jumlah kerugian itu berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun dari 2018 hingga tahun lepas.

“Angka yang cukup besar ini sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutamanya pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah, malangnya nilai ini tiris akibat jenayah rasuah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya kemarin.

Berdasarkan angka yang didedahkan Azam itu, secara purata kerugian yang dialami negara dalam setahun ialah RM55 bilion.

Bayangkan berapa banyak projek pembangunan dan program-program untuk rakyat dapat dilaksanakan jika amalan rasuah dapat dibendung, apa lagi kalau dihapuskan?

Dengan itu, diharap rakyat perlulah faham mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal mengambil alih teraju kerajaan lagi begitu bersungguh-sungguh mahu memerangi amalan rasuah.

PMX dalam mana-mana ucapannya terutama dalam perhimpunan melibatkan pemimpin dan penjawat awam kerap mengingatkan betapa buruknya amalan rasuah.

TAMAK PUNCA RASUAH

Hakikatnya, jika tidak dibendung dan diperangi, lebih banyak bilion lagi negara akan kerugian akibat gejala rasuah yang berpunca sikap tamak dan tidak amanah itu.

Dalam responnya kemudian di majlis tersebut, Anwar menegaskan, angka itu membuktikan gejala rasuah begitu ‘membengkak’ di negara ini sedangkan jumlah sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat seperti pembasmian kemiskinan, pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, serta membantu golongan yang memerlukan.

“Atas sebab itu, semua pihak termasuk rakyat perlu berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan seperti SPRM untuk membanteras gejala tersebut.

“Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Anda memerlukan kesungguhan, komitmen, dedikasi dan keberanian serta memerlukan legislatif dan perundangan yang kuat untuk melindungi kita dari gejala rasuah.

“Dan paling penting anda perlu keberanian politik serta hala tuju yang jelas,” ujar Perdana Menteri lagi.

RASUAH ROSAKKAN KEMANUSIAAN

Diharap dengan ketegasan Anwar memerangi rasuah, malah boleh dikata kerap sekali bercakap mengenai rasuah, di samping SPRM terus tegas melaksanakan tanggungjawabnya, kita sebagai rakyat haruslah bersama-sama memberi sokongan atas perkara tersebut.

Rasuah adalah jenayah yang merosakkan kemanusian dan peradaban kehidupan hanya dapat digemilangkan jika gejala itu dihapuskan terlebih dahulu.

Tiada negara yang benar-benar disanjung jika amalan rasuahnya masih menggunung.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *