Oleh Sholina Osman
8 MEI 2024
TUGAS kaum intelektual bukan hanya berfikir, merenung dan berwacana semata, namun yang lebih utama bagaimana pemikirannya itu diterjemah kepada aksi dan tindakan.
Jelas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia sebagaimana yang terungkap dalam “The Origin of Human Society” karya pemikir Malek Bennabi bahawa “A human group acquire the quality of society when it starts moving…”.
Justeru itu katanya, pemikiran atau fikrah perlu disusuli dengan aksi atau tindakan yang perlu digerakkan.
“Oleh sebab itu, sosok semacam Siddiq Fadzil (Almarhum) adalah tauladan dan cerminan kaum intelektual yang didambakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar dan Sudut Pemikikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil: Islah dan Tajdid Dalam Pemikiran Dalam Pemikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak merangkap Ahli Lembaga Pengarah USAS,
Khairudin Abu Hanipah, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman.
Sementara itu pada sesi forum ia melibatkan Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dari Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Emeritus Datuk
Seri Dr. Md. Salleh Yaapar Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman (WADAH) dan Ismail Naim Abdullah dari USAS selaku moderator.
Sesi pembentangan kertas kerja pula melibatkan Dr. Norazlan Hadi Yaacob dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Mohd Khairul Anwar Ismail (WADAH), Azmi Ahmad (USAS) dan Mohd Farouq Nuqman Zamri (USAS) sebagai moderator.
KELOMPOK PENTING
Fadhlina menegaskan, kaum intelektual adalah suatu kelompok penting dalam membangun masyarakat yang madani.
“Almarhum (Dr Siddiq) menekankan tekankan percontohan terbaik umat, Ar-Rasul SAW yang memberikan penegasan bahawa Baginda diutus Tuhan sebagai seorang guru – “Innama bu’ithtu mu’alliman” (Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru).
Katanya, bagi Almarhum, seorang intelektual sejati ialah seorang guru; yang bukan hanya berfikir-berwacana, tetapi menggerakkan masyarakatnya – sebagaimana tugas Ar- Rasul SAW.
“Maka, dengan itu, pendidikan menjadi suatu proses penting pembangunan manusia. Dan pendidikan yang dibangunkan itu harus menjadi pendidikan yang memanusiakan, pendidikan yang mencerahkan dan pendidikan yang membebaskan,” katanya.
Beliau menegaskan dua karakter utama bagi seorang guru- pendidik-intelektual; Pertama sebagai “human transformer”, kedua sebagai “culture builder”.
Beliau berkata, seorang intelektual harus mampu melakukan proses “transfer” dan “form” – “transfer” dengan makna penyaluran ilmu, pengetahuan, fikrah, budi, akhlak dan sebagainya; kemudian “form” – membentuk otak dan watak, membina peribadi-karakter peserta didik dan para kadernya.
Tambahnya, seorang guru-pendidik-intelektual itu harus sanggup membangun budaya, yang lahir dalam kelompok yang sedar, hadir dari “budi” (fikrah) dan diterjemah dengan “daya” (aksi-tindakan). – JM