Oleh Noraini Nordin
(Sorotan dari PRK KKB)
Kempen PRK Kuala Kubu Bharu sudah masuki
fasa ‘ Zon Pecutan Akhir ‘ yang menyaksikan seluruh jentera calon-calon yang bertanding bergelut untuk menawan pengundi.
Pelbagai strategi digunakan demi meraih undi yang pastinya memerlukan kesabaran serta ketabahan yang luar biasa.
Bagi Wanita KEADILAN , menunggu gendang perang dipalu baru untuk memulakan kerja itu bukanlah cara wanita dari parti ini.
Wanita KEADILAN sudah pun berkampung awal seminggu sebelum hari pengumuman calon Perpaduan.
Kubu sudah diperkemaskan dan segala keperluan kempen termasuk logistik dan jentera telah siap siaga.
Suhu berkempen juga semakin panas dan pastilah menjadikan hari-hari terakhir sebelum pengundian detik yang tidak boleh dipersiakan.
Kerja keras Wanita KEADILAN yang diterajui oleh Ketua Wanita Pusat Fadhlina Sidek juga mendapat sokongan padu daripada seluruh kepimpinan wanita pusat, cabang-cabang wanita serta ahli akar umbi seluruh negara.
Fadhlina dan wanita KEADILAN menyantuni pengundi ke segenap pelusuk DUN Kuala Kubu Bharu bagi memastikan calon Perpaduan Pang Sock Tao mampu mempertahankan kerusi DUN ini dengan kemenangan bergaya.
Ini juga adalah hari-hari kritikal bagi semua calon sebelum tibanya hari pengundian pada Sabtu ini.
Selain daripada menjalankan gerak kerja kempen di kawasan sasaran bersama jentera-jentera parti, Wanita KEADILAN juga bergerak secara bersepadu bersama rakan-rakan sekutu yang lain iaitu wanita Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Persepakatan ini dilihat semakin utuh melalui aktiviti ceramah kelompok, kempen dari rumah ke rumah dan sebagainya.
Peluang calon Perpaduan untuk menang semakin hari semakin cerah berdasarkan sambutan yang diberikan oleh pengundi kepada beliau.
Calon Perpaduan bersih dan diyakini serta layak menjadi wakil rakyat DUN KKB.
GERAKAN KEMPEN DIPERTINGKATKAN
Hari ini juga adalah hari undi awal bagi pengundi.
Proses pengundian berlangsung bermula 8 pagi hingga 5 petang di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia.
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya, seramai 625 anggota polis, 238 orang tentera dan pasangan layak mengundi.
Sementara itu, tinjauan penulis di kawasan-kawasan sasaran mendapati BN dan PH melakukan gerakan yang sistematik.
PH dan BN bukan saja bergerak bersama-sama dalam kempen bertemu pengundi yang diadakan di pelbagai tempat, malah ceramah juga diadakan secara bersama.
Pemimpin PH dan BN sentiasa berganding tangan memperlihatkan keakraban hubungan bagi memastikan kemenangan berjaya diperolehi.
Di sebalik pelbagai provokasi dan andaian tentang hubungan PH dan BN, terutama keghairahan PN mengungkit cerita lama yang tidak lagi relevan untuk dipentaskan, pemimpin kedua-dua gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan nampaknya langsung tidak tergugat keutuhan jiwa mereka.
Keutamaan mereka sekarang ialah bergerak bersama menggerakkan jentera bertemu seramai mungkin pengundi.
PH DAN BN AKTIF BERCERAMAH
Kempen dalam bentuk ceramah juga lebih banyak diadakan pada minggu ini dan Kuala Kubu Bharu mula menjadi tumpuan ramai yang menyebabkan jalan-jalan lebih sibuk berbanding sebelumnya.
Berbanding PN, ceramah PH dan BN jauh lebih aktif dan mendominasi pentas-pentas ceramah ketika tempoh kempen memasuki minggu terakhir ini.
Dengan kempen dijangka lagi diperhebat dan diperkemas lagi menjelang hari-hari terakhir ini, PH dan BN hanya memikirkan untuk berusaha sebaik mungkin kerana kemenangan yang ingin dipertahankan adalah juga amanah mempertahankan sebuah kerajaan perpaduan demi kepentingan rakyat dan negara.
Ayuh..semua jentera Perpaduan kita tawan sehabis mampu pengundi DUN KKB untuk menang bergaya.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat