Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Hakikat bahawa Malaysia menjadi tapak yang lebih menarik untuk pelabur asing mengembangkan perniagaan mereka sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan madani, bukanlah suatu cerita dongeng atau rekaan.
Sudah banyak bukti dalam bentuk kenyataan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah pun dikeluarkan untuk pengetahuan umum.
Bahkan setiap kali Anwar melakukan lawatan ke luar negara – China, Amerika Syarikat, Jerman misalnya – jajan yang tidak lupa diumumkan adalah tentang berita baik berkenaan syarikat daripada negara yang dilawatinya itu yang sedia melabur di Malaysia.
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang kerap menemani Anwar dalam lawatan ke luar negara adalah “saksi hidup” yang boleh mengesahkan perkara tersebut.
AURA ANWAR
Bahkan, Tengku Zafrul menyifatkan Anwar sebagai “salesman” terbaik dalam konteks menjual peluang-peluang pelaburan ketika berkomunikasi dengan syarikat-syarikat antarabangsa di luar negara.
Tidak dinafikan, kelebihan Anwar dalam aura komunikasinya memang tidak perlu disangkal lagi.
Begitu pun, Anwar tetap merendah diri dengan menyifatkan perhatian dunia kepada Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul adalah berikutan kestabilan politik dan dasar ekonominya yang jelas.
Beliau berkata, dasar-dasar seperti Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 adalah antara dasar yang membantu membantu pelabur asing untuk melihat kekuatan yang ada pada Malaysia.
RAKYAT WAJAR AMBIL PELUANG
Justeru, jelas Anwar, rakyat wajar mengambil peluang untuk merebut peluang peluang pekerjaan bagi menjamin kehidupan hasil daripada pelaburan asing itu.
Sebagai contoh, jelas Anwar, dengan pelaburan (seperti) Infineon, Nvidia dan puluhan lagi syarikat lagi, ia memerlukan kira-kira 30,000 jurutera yang tak dapat kita isi sepenuhnya.
“Maka, mulai sekarang, tumpuan ibu bapa dan anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains dan matematik dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang diusahakan secara gigih oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) untuk meningkatkan keupayaan mereka,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Aidil Fitri Madani di Melaka.
Terbaru, dengan pengumuman Anwar semalam di mana Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion bagi merancakkan ekosistem syarikat berinovatif dan berpertumbuhan tinggi, ini bermakna satu lagi inisiatif untuk pertumbukan ekonomi yang lebih baik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa komited dalam membentuk ekosistem pemula yang dinamik agar dapat memposisikan Malaysia sebagai hab utama untuk keusahawanan dan Inovasi.
“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak KL20 2024.
Beliau berharap, sidang kemuncak itu menjadi forum untuk memudah cara syarikat-syarikat permula dalam pelaburan bernilai tinggi dan mengalakkan syarikat permula untuk berkembang dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap.
“Saya menghargai perkongsian daripada wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting supaya dasar-dasar kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka,” tambah beliau.
Yang nyata, Anwar yang menerajui kerajaan tidak pernah berhenti daripada terus berusaha bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara ini.
Semuanya tidak lain untuk faedah kita sebagai rakyat menikmatinya.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat