PRK KKB : Siapapun calon PH terima dengan hati yang terbuka

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Malam ini Pakatan Harapan (PH) melalui DAP, akan mengumumkan calon yang bakal dipertaruhkan bagi mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dalam PRK yang akan diadakan pada 11 Mei depan.

Selain daripada pengundi ramai yang masih berteka teki siapakah calon paling sesuai untuk mempertahankan kemenangan PH di DUN ini pemerhati politik juga turut membuat ramalan.

Sebelum ini menurut laporan, DAP telah menyenarai pendek sepuluh nama yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon bagi DUN KKB.

SEPULUH INDIVIDU TELAH DISENARAIKAN

Pengarah PRK PH Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han berkata, DAP mempunyai senarai panjang mereka yang layak bertanding dan daripada 10 individu yang disenarai pendek, terdapat calon daripada kaum Melayu selain Cina dan India yang layak untuk ditampilkan.

“Malam ini, kepimpinan tertinggi akan memutuskan calon paling sesuai dan diyakini dapat menyambung legasi khidmat cemerlang mendiang Lee Kee Hiong yang menjadi wakil rakyat di Kuala Kubu Bharu selama tiga penggal,” ujar beliau.

Melalui kesepakatan PH yang telah memutuskan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kekal ditandingi DAP, siapa juga calon yang diketengahkan haruslah menjadi faktor nombor dua bagi semua pejuang dan jentera gabungan tersebut.

Apa yang lebih penting dan harus menjadi perkara nombor satu ialah memastikan PH terus menang dan berjaya mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

Lagi pula, memenangkan kerusi yang memang dimenangi PH pada PRN lalu akan dapat memastikan kerajaan negeri Selangor terus stabil dan kukuh.

Untuk itu, siapa pun calon yang akan diumumkan malam nanti, ia mestilah diterima sebulat suara tanpa sebarang persoalan dan dengan bulat hati.

Selepas nama calon diumumkan, tugas utama semua pihak dalam PH, tanpa kompromi atau merungut, ialah memastikan segala jentera bekerja keras sehingga parti beroleh kejayaan pada 11 Mei depan.

Calon yang dinamakan boleh datang dan pergi dan boleh dipilih sesiapa saja, tetapi PH mesti terus dikekalkan, bukan saja di Kuala Kubu Bharu, bahkan juga menerajui Selangor.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *