Kempen secara sihat, usah jadikan PRK KKB lubuk fitnah

0leh Noraini Nordin

Tidak sampai dua minggu lagi iaitu pada 27 April nanti akan berlangsung hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Kubu Baharu atau KKB.

Selepas itu, undi awal akan diadakan pada 7 Mei dan pada 11 Mei pula telah ditetapkan sebagai hari pengundian bagi DUN tersebut.

Bermula selepas hari penamaan calon sehinggalah hari pengundian, kawasan KKB pasti akan sibuk dengan pelbagai acara kempen oleh calon-calon yang bertanding dalam PRK tersebut.

Semalam penulis meluangkan masa menjelajah beberapa kawasan di DUN tersebut untuk tinjauan awal.

Sambil mengopi penulis ‘pasang telinga ‘ di kafe-kafe dan gerai-gerai yang menjadi tumpuan pelanggan untuk mendengar soksek-soksek pilihan raya.

Kelihatannya komuniti KKB masih lagi dalam ‘mood’ beraya . Mana yang bekerja mereka menjalankan tugas seperti lazimnya.

Persekitaran kawasan itu dilihat tetap tenang dan tidak ternampak lagi sebagai aktiviti yang bercorak politik diadakan.

Masih belum ada keghairahan penduduk setempat untuk berbual berkenaan soal politik, calon dan PRK.

Meskipun beberapa portal berita dan akhbar sudah mula melaporkan berkenaan PRK yang bakal tiba namun ‘mood’ pilihan raya masih belum terasa.

Bahang pilihan raya dijangka membara selepas penamaan calon.

TIDAK MENYERANG PERIBADI

Istimewanya KKB adalah kawasan yang indah dan nyaman, ia hanya sibuk menjelang hujung minggu kerana ia adalah laluan menuju ke tempat percutian Fraser Hill yang sejuk udaranya.

Melihat kehidupan masyarakat KKB yang tenang dan persekitarannya yang indah lagi nyaman, apa yang diharapkan semuanya tidak dirosakkan sebaik saja musim kempen bermula nanti.

Diharapkan semua parti yang bertanding dapat berkempen secara sihat, tidak menyerang peribadi, tidak melemparkaj fitnah dan tidak juga memainkan isu-isu sensitif melibatkan agama dan bangsa.

Berkempenlah secara beradab dan bukan untuk membawa kerosakan.

Tidak perlulah mana-mana pihak berlebih-lebihan dalam berkempen, lagi pun yang ingin diganti hanyalah seorang ADUN, bukan untuk menukar kerajaan.

Yang penting, selepas tempoh kempen berakhir dan penceramah-penceramah pulang ke negeri masing-masing, biarlah KKB yang ditinggalkan tetap indah, tenang dan nyaman sebagaimana sebelumnya.

Jangan datang membawa kerosakan dan jangan pulang dengan meninggalkan luka-luka yang sukar disembuhkan.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *