‘Misi Gila’ : Terbukti Anwar PM sayang rakyat tanpa pilih kasih

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Semakin PMX dicerca semakin tidak terhitung budi yang ditabur oleh beliau khasnya kepada rakyat Malaysia tanpa pilih kasih.

Terbaru – ‘misi gila’ yang dilakukan oleh PMX menjadi bualan hangat di Malaysia dan warga dunia.

Pastinya ramai yang sudah membaca kisah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang dapat bersatu semula dengan keluarganya yang terperangkap di kawasan bergolak Gaza melalui usaha serta bantuan yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam catatan di media sosialnya, Muhammad Nadir menyifatkan usaha membawa pulang anaknya ke Malaysia sebagai satu ‘Misi Gila’ yang telah dilakukan oleh Kerajaan Madani.

Menceritakan daripada awal kisahnya, beliau berkata, dirinya telah terpisah dengan anak-anaknya lebih daripada 200 hari ekoran konflik yang berlaku di Gaza.

“Suatu hari saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby (Ketua Pegawai Eksekutif) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat itu iaitu Anwar pada bulan lalu di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau berlepas ke Berlin untuk lawatan rasmi.

“Dalam ramainya orang di majlis itu, sempat saya maklumkan kepada PMX bahawa keluarga saya terkandas di Rafah.

“Beliau hanya sempat membelek kiriman kami (surat) dan kemudian memberikan respon ringkas – ‘saya akan bantu’ lalu terus menaiki kenderaannya yang kemudian memecut ke majlis seterusnya.

“Hati saya mula luluh pada waktu itu, mungkin itu bahasa orang politik saja.

“Saya langsung tawakal dan serahkan segala-galanya kepada Allah,” kata Muhammad Nadir lagi.

Walaupun pada mulanya ‘hatinya luluh’ dengan reaksi daripada Anwar, tetapi siapa sangka individu berkenaan sebenarnya secara diam telah mengusahakan dan berunding dengan pihak Mesir untuk membawa pulang keluarganya yang terkandas di Rafah.

LOKASI RAHSIA

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, sehari sebelum sambutan Aidilfitri yang lalu, beliau telah dihubungi oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang memintanya hadir di sebuah lokasi rahsia.

“Saat sampai di lokasi tersebut ada kenderaan hitam sedia menanti.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam berikutan lebih 200 hari terpisah dengan mereka.

“Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” katanya.

Melalui coretannya, Muhammad Nadir merakamkan jutaan rasa terima kasih kepada PMX susulan ‘Misi Gila’ tersebut yang diusahakan secara diam-diam, tetapi akhirnya memberi kebahagiaan kepadanya sekeluarga.

MENDOAKAN MEREKA

Penghargaan sama turut dizahirkannya kepada PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan mereka.

“Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua,” katanya.

PAS UCAP TERIMA KASIH PADA ANWAR

Di waktu yang sama, PAS turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana telah berusaha membantu membawa keluar keluarga aktivis tersebut yang yang terperangkap di Palestin.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata usaha tersebut memerlukan hubungan yang baik khususnya dengan Mesir bagi membawa keluar keluarga aktivis itu.

“Terima kasih atas kesungguhan dan usaha PMX memastikan keluarga Muhammad Nadir dapat disatukan semula.

“Tentu sekali ia memerlukan kepada perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir khususnya bagi memastikan misi ini berjaya,” tambah beliau.

Terbukti dan tak diragukan lagi, melalui usaha ini jelas menunjukkan Anwar adalah PM untuk semua rakyat Malaysia dan sesiapa jua yang meminta bantuan daripadanya, tidak kira siapa mereka, sedaya upaya akan cuba dibantunya.

Semoga mereka yang selama ini menghina dan memaki hamun PMX melihat kebaikan yang dilakukan oleh PM dengan minda terbuka serta berlapang dada.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *